When It Just Me.....

By Huwaida - Mac 09, 2018

Setiap hari Jumaat, kalau tiada sebarang aktiviti luar, saya dan Mr Hubby akan keluar untuk restock barang dapur. Ini dah jadi rutin untuk setiap hari Jumaat iaitu harini. Kebetulan di pasar basah tadi, tiada buah yang kami berminat, kami berhenti di sebuah gerai tepi jalan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk membeli buah. Hanya saya yang turun untuk membeli, manakala abang duduk dalam kereta bersama Asmaa.

Ada dua jenis buah sahaja yang dijual; tembikai dan pisang. Tapi, bagi saya tiada masalah. Saya pilih buah tembikai yang saya nak beli. Selepas ditimbang saya mula memilih buah pisang pula. Sebenarnya, di rumah saya hanya ada saya, abang serta Asmaa. Memang tak banyak mulut la nak disuap. Jadi, saya memilih untuk membeli pisang yang kurang masak. Tahan lama sikit. Nak buat goreng pisang pun boleh. Ada satu sikat je pisang yang belum masak. Memang penjual tu pun berkata yang sama.



Oleh sebab kami di rumah bertiga, saya meminta untuk membeli setengah sahaja. Sebab selalunya tak habis pun beli sesikat. Tapi, penjual tu suruh saya mengambil pisang yang sudah dikerat. Apa lagi, saya terus cakap  'tak nak lah' dan terus nak bayar untuk tembikai sahaja. Masuk kereta, saya terus bercerita situasi tersebut kepada abang.

Kemudian, saya cakap, "mungkin orang-orang kat sini, macam ni agaknya. Tak mesra pelanggan langsung. Dah sah-sah dia tahu kita tengah pilih pisang yang tak masak, pastu sebab malas, tak nak potongkan. Nak mudah ja". Abang jawab, "tak baik bersangka buruk".

Saya terus sambung yang memang selalu sangat terjadi macam tu. Pernah sekali pergi klinik, jururawat yang ada tu susah sangat nak senyum. Lepas tu, saya pernah terserempak dan cuba berbual dengan seorang perempuan, memang susah sangat dia nak bercakap, apatah lagi tersenyum. Tambahan lagi, majoriti tukang yang pernah renovate rumah kami pun, buat seperti melepaskan batuk di tangga. Memang tak puas hati langsung.

Abang cuba tenangkan keadaan dan suruh saya bersangka baik. Saya jawab, saya memang selalu sangat bersangka baik, tapi bila semua benda ni selalu berlaku, rasa macam susah sangat nak bersangka baik. Dan saya selalu terfikir mungkin saya bukan sepatutnya berada di sini. Tempat ni tak sesuai langsung untuk saya.

Dan seperti biasa, sampai rumah, saya akan terus bersihkan ayam dan makanan laut jika ada sebelum disimpan di dalam peti. Sambil bersihkan, seperti biasa memang ada banyak masa untuk muhasabah. Saya mula flashback, sebenarnya tadi masa pergi membeli ayam, Pak Cik penjual ayam menyuruh saya memilih ayam yang dikehendaki.

Tapi, ayam yang saya pilih, kecil dan kurang berisi, dia pilihkan saya ayam yang lebih berisi. Apa yang dia cakap secara berseloroh, "Eh, ayam ni kecil sangat, ambil yang ni", kami tertawa bersama. Dan Pak Cik tu penduduk sekitar sini. Pernah juga sekali pergi ke kedai makan, pemilik kedai tersebut memberi kami seekor ikan besar yang sangat segar hasil tangkapan laut secara percuma. Kami tiada sebarang ikatan kekeluargaan, dan dia juga penduduk di sini.

Dan banyak sebenarnya bila di flashback, termasuk jiran tetangga lain, memang tidaklah seteruk yang saya fikirkan. Saya mula teringat cerita yang saya pernah ceritakan kepada abang. Di mana sebuah keluarga yang berpindah kerana mereka merasakan kejiranan mereka yang tidak mesra. Apabila berada di kejiranan baru, mereka merasakan benda yang sama. Mereka pergi kepada seorang alim di penempatan tersebut. Apa yang orang alim itu jawab, sebenarnya ini bukan masalah orang sekeliling, tetapi masalah keluarga tersebut.

Saya mula terfikir, mungkin begitulah apa yang berlaku kepada saya. Ini bukanlah sebab orang sekeliling. Kehidupan kita adalah bagaimana kita sendiri mencoraknya. Kita ada pilihan yang kita boleh pilih secara bebas. Tiada paksaan. Saya tidak perlu biarkan perkara negatif di sekeliling saya mempengaruhi saya. Saya ada kuasa memilih yang terbaik untuk kehidupan saya.

Begitulah saya, ada kala saya sepertinya mahu kalah. Alhamdulillah, syukur kerana Allah masih berikan ruang dan masa untuk saya bermuhasabah dengan diri sendiri. Semoga Allah berikan saya kekuatan untuk sentiasa berubah untuk menjadi lebih baik. WaAllahu A'lam.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan