Alhamdulillah, hari ini sempat kami sekeluarga menziarahi ibu saudara tsabit yang telah kembali ke rahmatullah. Saya antara orang yang jarang menziarahi mereka yang telah meninggal. Bukan tak nak, tapi kurang berkesempatan. Jadi, apabila dapat menziarahi rumah yang ada kematian di dalamnya, sangatlah begitu banyak pengajaran yang dapat diambil.
Teringat dulu ketika SPM, kami diajar kelebihan-kelebihan menziarahi orang mati. Memang lancar je tangan menulis hikmah dan pengajaran yang dapat diperoleh apabila menziarahi 'mayyit'. Percayalah, sangat berbeza penghayatan yang kita dapat apabila membayangkan keadaan menziarahi jenazah dengan menziarahi jenazah secara realiti.
Manfaat dan kelebihan menziarahi jenazah dan keluarganya:
1) Mengingatkan kita tentang kematian
Apabila kematian berlaku di luar persangkaan kita, sukar untuk kita sentiasa mengingati detik-detik kematian. Yang dapat, hanyalah rutin hidup yang kita biasakan. Contohnya, apabila kita biasakan rutin kita dengan solat sunat, puasa sunat dan zikir serta selawat. Kita akan terbiasa dengan rutin orang soleh yang membawa kebaikan kepada kehidupan selepas mati kelak.
Akan tetapi jika tiada penghayatan yang mendalam ke atas rutin tersebut, kita masih sukar untuk mengingati detik kematian dengan mudah. Yang ada hanyalah kebiasaan yang baik yang selalu kita praktikkan.
2) Menginsafkan kita tentang amalan kita
Menjadi adab semasa menziarahi keluarga jenazah, kita akan bercakap tentang kebaikan jenazah tersebut. Jika jenazah tersebut saudara mara terdekat, kita pasti akan mengingati sendiri akan setiap kebaikannya kepada kita. Mengingati kebaikan orang lain akan menginsafkan kita dengan amalan kita sendiri. Adakah sudah cukup amalan kebaikan yang kita lakukan semasa di dunia?
3) Mengeratkan hubungan silaturrahim
Berada di kehidupan sekarang, kita semakin sibuk menguruskan hal-hal harian. Jika dulu, mensekolahkan anak adalah perkara mudah dari segi teknikalnya. Namun sekarang, terlalu banyak protokol dan perkara-perkara teknikal yang perlu kita santuni. Sehinggakan menjadi agak sukar untuk kita beramah mesra dengan tetangga dan keluarga.
Usaha untuk pergi menziarahi jenazah dan keluarga jenazah akan mempertemukan kita setelah lama tidak bersua muka. Kita menjadi semakin erat apabila dapat berkongsi kesedihan bersama. Saling memberi kata-kata nasihat dan semangat. Pasti semua suasana ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama kita.
Wallahu 'Alam
0 ulasan