3 Kaedah Mempengaruhi Akal Anak

By Huwaida - Januari 12, 2018

Ringkasnya, manusia terdiri dari unsur fizikal jasmani, jiwa yang merasa dan akal yang berfikir. Diibaratkan anak lahir seperti kain putih yang tidak tercorak dengan sendiri. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapalah untuk mencoraknya. Pada entry kali ini, kita cuba untuk fokus pada kaedah mempengaruhi akal anak. 

Mempengaruhi akal anak adalah sangat penting untuk memastikan anak-anak kita terdidik dengan corak pemikiran yang mengikut lunas Islam dan positif. Corak pemikiran yang betul akan memandu anak-anak kita untuk membuat tindakan yang tepat. Selain itu, corak pemikiran yang positif juga dapat membantu jiwa mereka melahirkan perasaan yang harmoni.

Akal yang bersifat rohani ini perlu dididik secara berhati-hati oleh para ibu bapa. Hal ini kerana kita tidak dapat menggambarkan keadaan akal seseorang melainkan dengan melihat manifestasi yang terhasil darinya. Jadi, antara kaedah untuk mempengaruhi akal anak adalah dengan:

1) Menceritakan kisah-kisah teladan

Kanak-kanak sangat suka mendengar cerita kerana alam cerita adalah alam yang paling menyeronokkan bagi kanak-kanak. Mereka dapat berimaginasi dengan baik dan setiap cerita akan memberi kesan yang besar kepada mereka. Jadi, ibu bapa perlu bercerita untuk memastikan imaginasi anak-anak terangsang dan paling penting perlu pandai memilih bahan cerita.

Adalah sangat digalakkan untuk menceritakan kisah para nabi, sahabat dan solihin kerana kisah-kisah ini kisah yang memang terjadi pada masa lampau. Kisah-kisah ini juga bebas dari unsur khurafat dan khayalan. Sebagaimana disebut dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.......(Surah Yusuf [12]:111)
Seboleh-bolehnya arahkan atau ajak anak untuk meneladani tokoh-tokoh yang diceritakan terutamanya Baginda Rasulullah SAW.

2) Bersoal jawab dengan anak


Kaedah soal jawab dapat merangsang pertumbuhan akal anak dan meluaskan wawasannya, serta menambah minat dan semangat mereka untuk mendalami dan mengkaji sesuatu. Dengan bersoal jawab, anak-anak dapat mengungkapkan apa yang terlintas dalam benaknya dan memungkinkan mereka untuk bertanya pelbagai hal yang mereka belum tahu.

Selain itu, pemikiran anak-anak akan lebih terbuka sehingga terlatih untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis diskusi. Terdapat begitu banyak kisah-kisah sahabat yang memaparkan bagaimana mereka bersoal jawab dengan kanak-kanak kecil. Dek kerana itulah, banyak dari anak kecil pada zaman tersebut membesar menjadi pemuda dan tokoh yang disegani.

3) Melatih anak dengan beraktiviti

Melatih panca indera anak dapat menghasilkan pengetahuan baginya. Rasulullah SAW pernah melihat seorang anak yang menyiang kulit kambing dengan cara yang salah. Maka, Baginda SAW menyingsingkan lengan baju Baginda dan menyiang kambing tersebut di hadapan anak itu. Si anak memerhatikan tingkah laku Baginda SAW.

Ketika memerhatikan Rasulullah SAW, akal anak tersebut merakam apa yang dilihatnya dan fikirannya terfokus pada pelajaran yang diberikan Baginda SAW. Hal seperti ini dapat mengubah tanggapan anak itu dan memperdalamkan pengetahuannya.

[Sumber rujukan
: Prophetic Parenting ditulis oleh Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid]



  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan