Hari-hari Dalam Hidupku: Bedah Buku

By Huwaida - November 27, 2010

Firman Allah fi Kitab al-Aziz:


Yang bermaksud: "Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad,47:7)

Alhamdulillah, baru selesai baca lagi satu buku yang dipinjamkan Sabati. Daripada tajuk post ini, pasti semua sudah dapat mengagak buku yang telah saya baca. Lawak rasanya apabila mengenangkan bagaimana diri ini akhirnya dapat menghabiskan bacaan tersebut. Lantaran ada sedikit urusan lain dan kemalasan yang menghantui diri, puas juga kupujuk diri sendiri untuk menghabiskan bacaan. Tup2.., tidak sampai seharian pun aku sudah dapat menghabiskan bacaan jika dibandingkan dengan hari-hari yang sebelumnya yang hanya sehelai dua muka sahaja yang mampu kuselak. Sempat terkenang akan ayat ibuku yang selalu diulang-ulang kepada kami adik beradik semasa masih di zaman persekolahan dahulu; 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Ayat inilah yang mendorong kami adik-beradik untuk menyiapkan setiap pekerjaan yang ada.

'Hari-hari Dalam Hidupku' adalah buku karangan mujahidah yang sangat tabah, Zainab al-Ghazali al-Jubaili. Buku ini menyimpan kisah realiti tentang penyeksaan Zainab al-Ghazali di penjara tentera Mesir. Ia bermula dengan penceritaan bagaimana rancangan keji Jamal Abdul Nasser (Presiden Mesir ketika itu) untuk membunuh Zainab al-Ghazali, disusuli dengan penyiksaan Zainab di penjara tentera Mesir, seterusnya kehidupan di penjara perempuan al-Qanatir dan bagaimana akhirnya Beliau dibebaskan. Secara keseluruhannya, buku yang diakhiri dengan muka surat 366 ini banyak berkisarkan tentang kisah penyeksaan yang dialami Zainab di penjara tentera Mesir.

Sengaja aku memulakan post kali ini dengan ayat suci Allah yang seperti di atas. Hal ini disebabkan diri ini merasakan ianya sesuai untuk menggambarkan ibrah yang mampu diperoleh daripada penceritaan mujahidah Zainab itu. Walaupun disiksa dengan tidak berperikemanusiaan, Beliau tetap tabah. Dan seperti yang dijanjikan, ketabahan itu dibalas Allah tunai dan selebihnya di alam Akhirat, insyaAllah. Bertuah rasanya jika dapat menjadi seperti mujahidah itu yang dapat berjumpa junjungan mulia Baginda SAW di dalam mimpi berkali-kali dan seolah-olah dijanjikan dengan nikmat yang besar yakni Syurga. Walaupun begitu, tidaklah Beliau peroleh semua itu secara percuma. Ada satu pembayaran yang perlu dilunaskan terlebih dahulu dan hanya hamba yang benar-benar memiliki keimanan dan ketakwaan yang teguh mampu membuat pembayaran tersebut.

Jika dimuhasabahkan diri ini, jauh rasanya untuk mencapai tahap itu. Tapi, rasanya tidak perlulah terlalu merendah diri untuk terus berusaha kearah itu. Selagi Allah masih mengizinkan diri untuk bernafas di alam ini, selagi itulah usaha perlu diteruskan. Sesungguhnya kurniaan Allah itu amat luas dan sesungguhnya Dialah yang menyimpan rahsia-rahsia yang besar itu. Tak siapa mampu menduga mahupun mentafsir setiap yang ditakdirkan oleh Allah.Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tsabitkanlah hati ini untuk agamaMu dan untuk ketaatan kepadaMu.

**Emm.., tak sabar rasanya untuk membaca buku terakhir yang Sabati pinjamkan. Sengaja dilewat-lewatkan pembacaan padahal buku inilah yang selalu ingin dibaca.

-20hb Zulhijjah 1431H-

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan