Ukhwah ke ukhuwah??

By Huwaida - November 22, 2010

Selalu terkeliru macam mana sebenarnya ejaan yang sepatutnya; ukhwah atau ukhuwah?
Ukhwah pun ok je kalu nak guna sebab kalu tulis dalam ejaan jawi, memang itu sebutannya. Tapi, kalu nak tulis dalam bahasa Melayu, ejaan 'ukhuwah' lebih diterima pakai. Jadi, dalam post ni kita guna 'ukhuwah' je la.

Alhamdulillah, baru je selesai baca novel karangan saudara Hilal Asyraf bertajuk 'Terasing'. Kredit to Sabati sebab pinjamkan saya novel ni untuk isi masa lapang untuk cuti semester kali ini. Oleh sebab dah baca, kita kongsi sikit apa yang ada dalam novel tu. Apa yang saya nak kongsikan di sini sudah tentu mengenai ukhuwah yang menjadi intipati utama novel itu.

Terusik hati bilamana pesanan seorang sahabat kepada sahabatnya diulang-ulang sepanjang penceritaan novel ini.

Zaman : Pertama, ingat aku dalam setiap doamu.
Saifullah: Kedua?
Zaman : Kedua, kalau aku jatuh, hulurkanlah tanganmu kepadaku. Bila aku bengkok, kau luruskanlah aku.
Sahabat, jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu.

Emm..."sahabat, jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu". Kenapa begitu? Sebab diri yang terasing mudah untuk tergelongsor ke lembah yang lebih gelap. Teringat pesanan Maher Zain kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi artis semasa temubualnya di Astro Awani (kalu tak salah) yang disiarkan pada hari raya aidil adha yang lalu. Pesanan kedua Maher Zain adalah, kalau ingin jadi artis, pastikan sahabat dan teman-teman yang seangkatan atau yang membantu kita adalah orang yang baik. Hurainya lagi, serigala tidak akan berani menangkap kambing-kambing yang bergerak berkumpulan. Rasanya ramai yang sudah tahu bagaimana huraian cerita itu.

Ukhuwah yang ingin ditekankan dalam novel ini bukan sahaja melibatkan ukhuwah antara seorang saudara Muslim dengan saudaranya yang lain. Ukhuwah yang telah dibicarakan adalah ukhuwah dalam skala yang lebih besar. Ukhuwah yang melibatkan seorang saudara dengan saudara-saudara yang disekitarnya; Seorang suami kepada isteri, seorang ayah kepada anak, seorang ipar kepada ipar-iparnya, seorang majikan kepada pembantu atau pekerjanya, malah seorang anggota masyarakat kepada masyarakat sekeliling. Begitu luas sekali skop ukhuwah yang sepatutnya kita cuba fahami, pelajari dan cuba mahirkan dalam diri.

Walaupun begitu, benihnya hanya satu iaitu keimanan kepada Allah SWT. Jika selemah-lemah ukhuwah adalah bersangka baik kepada saudaranya, maka ianya tidaklah dapat dicapai melainkan rasa keimanan dan keyakinan kita bahawa Allah Maha Mengetahui akan setiap isi hati hambaNya. Ajaibnya, ukhuwah yang jika dihuraikan tadi ternampak sangatlah luas dan besar, tetapi apabila penyelesaiannya dicari melalui Islam, jawapannya hanya satu. Bilamana hati kita mampu mahir dalam hal yang satu itu, persoalan dan masalah-masalah yang bakal timbul bisa sahaja diselesaikan. Rasa mudah atau susah tika cuba selesaikan setiap masalah itu bergantung kepada tahap keimanan kita. Emmm..muhasabah diri sendiri kejap.

Dalam novel ini, dikongsikan juga kisah sebelum peperangan Badar. Rasullullah SAW mengizinkan orang Ansar pulang ke Madinah memandangkan perjanjian mereka dengan Rasullullah SAW adalah untuk melindungi Baginda di Madinah, bukan di luar. Tetapi, salah seorang Ansar bangkit dan berkata:
"Ya Rasullullah, kami tidak akan mengatakan kepada kamu sebagaimana Bani Israel menyatakan kepada Musa. Pergilah kau dengan Tuhan kau berperang dan kami menunggu hingga kau menang. Tetapi Ya Rasulullah, kami akan berkata kepada kamu, 'pergilah kau dengan Tuhan kau berperang, dan kami akan bersamamu!'"

Ya, mereka bersama-sama Rasullullah dalam peperangan itu. Tidaklah hati mereka rela untuk bersama-sama Rasullullah dan saudara Muhajirin yang lain melainkan telah terpahat dalam hati-hati mereka rasa bertanggungjawaban dan rasa sayang akan saudara-saudara seaqidah mereka. SubhanaAllah, sungguhlah kekuatan sebuah ukhuwah itu pasti mampu melahirkan umat yang kuat dan bisa sahaja melemahkan musuh.

Terfikir keadaan masyarakat Islam sekarang. Adakah kelemahan ukhuwah itu yang melemahkan kita sekarang? Kelemahan kita dalam membina perhubungan sesama kita? Kelemahan kita disebabkan kekuatan kita dalam memakhluk asingkan saudara seaqidah kita? Ya Allah, Kau jualah Tuhan yang mampu memautkan hati-hati hambaMu. Maka, pautkanlah hati-hati hambaMu ini untuk mengejar keredhaanMu dalam mensyiarkan agamaMu. Ameen Ya Rabb.

"Sahabat, jangan kau asingkan diriku daripada kehidupanmu". Pesanan ini untuk diriku sendiri. Moga-moga aku tidak mengasingkan sahabat-sahabatku dan aku berserah kepada Allah harapanku supaya sahabat-sahabatku juga berbuat sedemikian kepadaku. Peliknya kehidupan, kadang-kadang kita terasing kerana kita sendiri yang mengasingkan diri. Oleh itu, moga-moga Allah akan jauhkan kita dengan perasaan 'terasing' itu juga.



Berkata Dennis Waitley dalam bukunya 'The Psycology of Winning', "If you don't stand for something, you will fall for anything". Ringkasnya, berukhuwahlah kerana Allah. Dengan ini, segala-galanya insyaAllah akan terpandu.

-15 Zulhijjah 1431H-

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan