Sebab Utama Kita Perlu Kurus

By Huwaida - Julai 09, 2020

Boleh dikatakan ramai yang meletakkan azam untuk kurus hampir setiap tahun. Walaupun ada yang sudah pun memiliki BMI yang normal, mereka tetap berazam mahu lebih kurus. Kebelakangan ni, ramai yang mempersoalkan tujuan untuk setiap orang perlu kurus.

Ada yang menyatakan kita perlu kurus untuk ada kenangan bergambar yang cantik dan memuaskan atau sememangnya untuk tampak cantik semasa hari perkahwinan. Ada yang menyeru untuk isteri-isteri menjadi kurus supaya suami tidak mencari orang ketiga. Ada yang mahu kurus supaya tidak dicemuh atau dipermainkan oleh orang sekeliling. Tapi sebelum melihat sebab utama kita perlu kurus, cuba kita cungkil realiti sebenar (untuk melihat situasi dengan lebih rasional).

(Imej dari Google)

Pernah dengar kisah seorang wanita yang pakaian pengantinnya koyak akibat obes? Tahukah anda, wanita itu tetap dapat meneruskan perkahwinannya walaupun obes dan berjaya 'koyakkan' baju pengantinnya. Pernah dengar kisah seorang suami yang bercerai dengan isterinya sedangkan isterinya sangat cantik dan tidak mempunyai masalah berat badan? Ini banyak kan? Pernah dengar kisah manusia yang selesa menjadi gemuk dan tidak pernah peduli apa yang dinasihatkan kepadanya? Tahukah anda sudah ada artis Kpop yang menubuhkan kumpulan artis 'montel' dan berjaya mendapat peminat mereka sendiri.

Jadi, salahkah untuk menjadikan sebab musabab di atas sebagai tujuan untuk kurus? Secara personal, bagi saya setiap manusia mempunyai 'push factor' masing-masing untuk mencapai sesuatu impian. Contohnya, ada manusia yang mahu mencari pendapatan yang lumayan untuk membeli rumah sendiri. Ada juga yang mahu menaja ibu bapa menunaikan haji dan umrah. Apa pun sebab musabab yang  dikongsikan, sebenarnya semua mereka hanya mahukan duit lebih untuk mencapai impian masing-masing.

Jadi, sangatlah tak salah untuk meletakkan sesuatu sebagai 'push faktor' untuk mencapai sesuatu. Namun, sebenarnya apabila kita berimpian, kita perlu ingat orang yang dapat manfaat yang sebenar adalah diri sendiri. Kalau kita kurus disebabkan mahu tampak cantik ketika hari perkahwinan dan berlaku masalah (atau 'diuji' lebih tepat), perkahwinan kita terbatal, kita tetap mendapat manfaat apabila kita tidak mempunyai masalah berat badan.

Andaikata kita kurus, tapi suami kita tetap main kayu tiga, kita sendiri tetap dapat banyak manfaat apabila BMI kita normal. Andai kata kita kurus dan masih ada manusia yang mencemuh kita, kita masih mendapat manfaat sekiranya tidak mempunyai masalah berat badan. Jadi, sebab UTAMA kita perlu kurus adalah untuk manfaat diri sendiri.

Disebabkan kita tidak mempunyai masalah berat badanlah kita menjadi lebih sihat.  Kita berasa lebih selesa dan berkeyakinan dengan diri sendiri. Kita juga tidak mempunyai masalah untuk beribadah, bekerja dan melakukan rutin harian yang lain.



Apapun, saya tidak salahkan manusia yang meletakkan asbab lain untuk mempunyai berat badan yang normal. Kita dilahirkan mempunyai personaliti yang berbeza. Kita termotivasi dengan cara yang berbeza. Kita bebas untuk mempunyai pemikiran yang berbeza. Namun, kita perlu menjadikan diri kita bebas daripada TERLALU bergantung kepada pandangan, atau kepuasan manusia lain.

Letaklah kebergantungan yang UTAMA itu hanya kepada Allah SWT. Kerana Allah SWT tak pernah menghampakan harapan hambaNya. Kita merasakan kita kuat apabila kita mahu memberi manfaat kepada manusia lain. Tapi,  INGATLAH, yang menganugerahkan kita kekuatan itu adalah Allah Rabbul Jalil. Andai suatu ketika kita merasa hampa dikecewakan manusia, ingatlah Allah tak pernah mengecewakan kita.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan