Diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW menyebutkan bahawa ada seseorang dari Bani Israil yang meminjam wang kepada seorang Bani Israil lainnya sebesar seribu dinar. Dia (pemberi pinjaman) berkata, "Datangkanlah beberapa orang untuk aku jadikan sebagai saksi". Orang itu (si peminjam) menjawab, "Cukuplah Allah yang menjadi saksi." Dia berkata, "Kalau begitu orang yang menjadi penjamin." Orang itu menjawab, "Cukuplah Allah yang menjadi penjamin." Dia berkata, "Engkau berkata benar."
Dia pun memberikan pinjaman wang untuk sampai batas waktu tertentu. Si peminjam pun pergi belayar dan menyelesaikan keperluannya. Setelah selesai pengembaraannya, si peminjam terus mencari kapal yang akan membawanya tepat pada waktu hutangnya perlu diselesaikan. Namun, dia tidak menemui sebuah kapal pun.
Si peminjam lalu mengambil kayu dan melubanginya. Kemudian dia memasukkan wang seribu dinar ke dalam lubang kayu itu dengan disertai sepucuk surat. Setelah itu, dia menutup lubang tersebut dan pergi ke laut.
Dia katakan, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa aku meminjam wang daripada si fulan sebesar seribu dinar. Dia minta saksi dan aku jawab, 'Cukuplah Allah yang menjadi saksi'. Dia meminta penjamin dan aku jawab, 'Cukuplah Allah yang menjadi penjamin'. Dia redha denganMu. Aku sudah berusaha mencari kapal, namun aku tidak menemuinya."
Kemudian, si peminjam tersebut melemparkan kayu itu ke laut sampai kayu tersebut hilang dibawa ombak. Setelah itu dia pergi untuk mencari kapal yang akan membawanya pulang ke negerinya. Pemberi pinjaman pula telah pergi melihat mungkin ada kapal yang datang membawa wangnya seperti yang dijanjikan.
Akan tetapi, dia hanya menemui kayu di laut. Dia membawa kayu tersebut pulang untuk dijadikan kayu api. Ketika dia membelahnya, dia menemui wang sejumlah seribu dinar dan sepucuk surat. Selang beberapa waktu kemudian, si peminjam datang kepadanya untuk membayar hutangnya seribu dinar.
Si Peminjam berkata, "Demi Allah, aku sudah berusaha mencari kapal agar aku dapat mengembalikan wangmu tepat pada waktunya. Tetapi, aku tidak menemui kapal sampai saat ini aku tumpangi." Si pemberi pinjaman itu menjawab, "Allah telah menyampaikan kirimanmu dengan kayu. Pergilah dengan membawa seribu dinarmu itu."
MasyaAllah, SubhanaAllah, Allahu Akbar. Semoga bermanfaat
[Petikan cerita dari Prophetic Parenting karangan Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid]
0 ulasan