Keguguran di awal kehamilan selalunya merujuk kepada keguguran janin yang berlaku pada 12 minggu pertama kehamilan. Dianggarkan sebanyak tiga per empat daripada semua telur yang disenyawakan akan gugur dalam minggu-minggu awal kehamilan. Jadi tidak mustahil untuk kita mengalami keguguran sebelum kita mengetahui kita sedang hamil.
Tidak dinafikan, berlakunya keguguran adalah satu ujian untuk semua pasangan suami isteri. Lagi-lagi bagi pasangan yang telah lama menanti untuk mendapatkan zuriat. Bagi saya dan suami pulak, tak sampai 3 bulan berkahwin, saya disahkan hamil. Alhamdulillah. Walaupun tak secepat pasangan lain bagi kami Allah dah tetapkan sesuatu just right. Sebab sebelum tu saya masih sibuk siapkan ijazah sarjana dan masih PJJ dengan suami.
Alhamdulillah, teruja sangat bila buat ujian kehamilan dan naik dua garis. Ingat lagi, disebabkan dah dua minggu tak datang bulan, kami pergi beli alat penguji kehamilan dan rancang untuk buat ujian tu esok pagi. Memang sebelum tu, google juga cara betul untuk buat ujian kehamilan sebab takut tersalah. Jadi mengikut hasil carian, air kencing pertama pada waktu bangun tidur mempunyai kandungan hCG yang tinggi.
Nak dijadikan cerita, pagi tu terbangun pukul 3.30 pagi dan rasa nak 'terkucil'. "Adeh, 😅. Tak pasti nak buat ujian air kencing waktu tu atau tak". Tapi, kuatkan hati, buat jela. Sebab itu memang air kencing pertama selepas bangun tidur, nanti kalau ambik yang seterusnya dah kurang kepekatan hCG dan dapat keputusan yang false negative pulak.
Nak melompat rasa dan terus kejutkan Mr Hubby. "Abang, tengok ni. Dua garis. Positive la". Mr Hubby pulak boleh dia jawab, "Yaka? Pukui berapa la ni?". Dah tau baru nak masuk pukul 4, terus dia tidur semula. Biar la. Asalkan diri sendiri bahagia. Lagipun, mesti la dia pun gembira, cuma saja nak tunjuk cool.
Esoknya, apa lagi. Google lagi pengalaman orang lain untuk tahu bila waktu sesuai untuk pergi daftar klinik dan semuanya la pasal mengandung. Tapi, masih sangsi lagi nak pergi daftar awal atau tidak. Sebab ada yang cakap tak perlu daftar awal. Daftar semasa kandungan dah 3 bulan. Ada yang cakap daftar je awal sebab kandungan 7 minggu dah boleh daftar (saya akan cuba kongsi pros dan cons pada post yang lain).
Oleh sebab ini kandungan pertama, kami pun ambil keputusan untuk daftar awal. Kandungan 7 minggu dah pergi daftar. Tapi, Allah lebih mengetahui akan hikmah disebalik setiap sesuatu. Pada malam minggu ke 7, hari ke 6 (pada 13 Jan 2016), saya turun blood spot yang berwarna merah kehitaman. Walaupun tak banyak, tapi esoknya (14 Jan 2017) memang pergi juga ke klinik untuk pengesahan.
Alhamdulillah, doktor bertugas buat pemeriksaan dan sahkan janin masih ada dan mungkin hanya implantation bleeding. Keesokannya, banyak la pulak turun darah. Fresh blood pulak tu. Tapinya, banyak tu macam masa datang bulan jela. Pergi buat pemeriksaan sekali lagi pada 17 Jan 2016. Keputusannya, janin masih ada dan doktor bertugas beri pilihan samada nak rehat di rumah atau hospital. Oleh sebab saya memilih untuk berehat di rumah, doktor bertugas cuma berpesan, kalau ada rasa sakit memulas yang amat sangat, atau turun darah yang sangat banyak, terus ke hospital.
Apa lagi, disebabkan kena rehat di rumah, saya pun google la mana tahu ada yang berkongsi situasi yang sama atau ada maklumat tertentu tentang situasi saya. Kebanyakkan hasil carian saya menyatakan kebanyakan orang yang mengalami situasi ini sedang mengalami keguguran. Allahu. Sedih dan berat rasa untuk menerima hakikat ni.
Cuba positifkan diri dan cuba cari lagi maklumat. Maklumat yang positif pun ada, tapi peratusannya sedikit. Duduk sebentar berfikir, teringat dua hari lepas mak telefon bagitau sebenarnya janin yang tak sihat memang tidak dapat teruskan perjuangan dalam rahim ibu. Pedih nak terima kenyataan tu, terfikir tak kan tak dak cara lain selamatkan janin ni. Air mata ni dah berapa liter tak payah kira la. Dari hari semasa turunnya fresh blood lagi kalau tak silap.
Malam hari 17 Januari tu, sebelum tidur, cuba untuk lapangkan dada dan minda dan cuba untuk redha dengan takdir Allah. Saya katakan kepada diri sendiri sebelum tidur, "Huwaida, doakan supaya Allah bagi yang terbaik untuk diri. Jangan pernah meragui kasih sayang Allah. Allah sentiasa adil dan memberi apa yang sepatutnya untuk kita. Kalau kita bersyukur, pasti Allah akan tambahi nikmatNya". Jadi, saya doakan bersungguh-sungguh minta supaya diberi ketabahan untuk menerima takdir Allah.
Esoknya, saya bangun tanpa menitiskan air mata dan rasa seolah-olah sangat redha dengan apa yang bakal Allah takdirkan dan percaya itu adalah yang terbaik. 18 Januari birthday mak sebenarnya, tapi tak tahu la macam mana saya boleh terlupa. Mak yang telefon pagi tu tanya dah lupa ka birthday mak. Adeh 😅, mungkin malam sebelum tu malam penuh emosi, lupa semua benda. Mr Hubby pulak kena kerja malam tu ganti kawan.
Tengahari tu tiba-tiba sakit perut, pergi tandas. Tapi, takde la pulak nak membuang. Lepas tu rasa sakit lagi, pergi lagi tandas. Sama, takde la nak membuang. Jadinya, tidur la dulu. Lepas tu bangun untuk solat asar. Lepas solat asar, rasa sakit sangat perut. Terus bagitau Mr Hubby.
Sebenarnya, teragak-agak nak ajak Mr Hubby pergi hospital, sebab Mr Hubby kerja malam tu. Tapi, takut jugak, sebab once Mr Hubby dah pergi kerja, saya akan keseorangan di rumah dan yang paling penting jauh dari saudara mara. Sakit perut memulas ni memang dasyat sangat. Sampaikan tak boleh dengar Mr Hubby cakap. Sebab kalau dia cakap, rasa gelombang dari suara dia menggegarkan perut yang sakit ni.
Jadinya, memang diam jela sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, Mr Hubby pun faham, dia cuma cakap sekali je suruh banyakkan istighfar dan selawat. Sakit memulas yang kemuncak adalah sakit sampai rasa nak termuntah. Tapi, sebaik saja nak masuk je ke pintu utama hospital, semua sakit tu hilang. Bila turun dari kereta, tiba-tiba rasa sesuatu jatuh.
Sedih sebenarnya, tapi perasaan redha dengan ketentuan Allah itu lebih tinggi. Alhamdulillah, Allah telah tetapkan peristiwa ni berlaku semasa saya betul-betul redha dan yakin bahawa setiap ketentuan Allah itu pasti berhikmah. Bayangkan Allah beri penangguhan selama 5 hari supaya saya betul-betul berada dalam keadaan yang tenang. Syukur ya Allah.
Walaupun kita redha dengan ketentuan Allah, sebagai manusia kita masih mempunyai emosi. Nabi junjungan kita S.A.W juga menitiskan air mata akan kematian kesayangan Baginda. Menangis bukan beerti tidak redha, menangis hanyalah manifestasi pada perasaan sedih.
Disebabkan entry ni dah cukup panjang. saya akan berkongsi kisah saya berpantang selepas keguguran dan bagaimana saya mengawal emosi saya pada entry seterusnya.
0 ulasan