Pada entry sebelum ini, saya ada berkongsi dari buku Cara Nabi SAW Mendidik Anak, karya Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid tentang kaedah mempengaruhi akal anak. Kali ini, saya akan cuba kongsikan cara mempengaruhi jiwa anak pula. Jika akal mempengaruhi corak pemikiran, jiwa mempengaruhi pembawakan perwatakan dan keperibadian.
Gizi yang sihat dan seimbang membantu pertumbuhan tubuh yang sihat. Namun, sampai masanya tubuh akan kembali lemah walaupun disuapi dengan gizi yang sihat. Berlainan pula dengan pertumbuhan jiwa. Pertumbuhan jiwa tidak akan terhenti sehingga terhentinya nafas kita. Maka, pendidikan jiwa sangat perlu dititikberatkan
Antara cara mempengaruhi jiwa anak adalah:
1) Berteman dengan anak
Terdapat hadis yang menyatakan bahawa seorang Mukmin adalah cerminan dari temannya. Mereka saling belajar dengan satu sama lain. Baginda SAW dalam periwayatan hidupnya selalu mengambil kesempatan untuk berteman dengan kanak-kanak. Rasulullah SAW bergaul dengan kanak-kanak tanpa rasa kekok dan sombong, dan tinggi diri dan angkuh.
Adalah hak anak untuk berteman dengan orang dewasa untuk belajar dari orang berpengalaman supaya dirinya lebih teratur, akalnya terlatih dan tabiatnya adalah kebiasaan yang baik. Selain orang dewasa menjadi teman kanak-kanak, Baginda juga menyarankan untuk anak itu mendapat teman yang baik dari kalangan usianya juga.
2) Menanamkan kegembiraan pada anak
Kegembiraan memainkan peranan yang cukup menakjubkan dalam jiwa anak dan memberi pengaruh yang cukup kuat kepada anak. Kanak-kanak yang lahir dengan jiwa yang suci dan murni sangat menyukai kegembiraan. Bahkan, mereka dapat membawa kegembiraan buat orang dewasa dengan telatah mereka.
Kegembiraan akan memberi kesan positif dalam jiwa anak dengan melahirkan rasa kebebasan dan penghidupan pada jiwa. Mereka akan lebih bersedia untuk menerima perintah dan saranan dengan hati yang ikhlas. Baginda SAW selalu mencuba pelbagai cara untuk memasukkan kegembiraan di hati kanak-kanak. Antaranya:
- Menyambut kedatangan mereka
- Mencium dan bergurau dengan mereka
- Mengusap kepala mereka
- Mendukung dan menimang mereka
- Memberikan makanan
- Makan bersama mereka
3) Menganjurkan pertandingan dan memberikan hadiah kepada pemenang
Melahirkan sikap kompetitif dikalangan kanak-kanak dapat menggali kemampuan terpendam mereka. Walaupun begitu, kaedah ini perlu diterapkan pada keadaan yang sesuai dengan kanak-kanak tersebut beserta pemantauan yang bijak. Sesuai dengan keadaannya, anak tersebut akan berusaha untuk mengeluarkan segala kemampuannya. Dia akan cuba belajar menambah ilmu, bertanya, dan berlatih.
Selain itu, anak ini akan terbiasa dengan kehidupan bermasyarakat dan menjauhi mereka dari kehidupan yang bersendirian. Anak itu juga akan berlatih untuk memahami corak kehidupan di mana akan ada masanya seseorang itu beruntung dan pada masa lainnya orang tersebut tidak sebegitu beruntung.
4) Memotivasikan dan menyokong potensi anak
Terdapat begitu banyak cara untuk memotivasikan dan menyokong potensi anak. Motivasi yang diterima sama ada secara tersurat atau tersirat, kedua-duanya dapat mendidik jiwa anak. Apa yang penting, santunilah mereka dengan hati yang ikhlas dan berhemah tinggi. Dari hati pasti turun ke hati jua. Jauhi duri yang mampu menjadi dinding penghalang perkara ini.
5) Memberikan pujian dan sanjungan
Pujian dan sanjungan yang dilakukan pada tempat dan waktu yang sesuai, dengan berpatutan dan tidak berlebih-lebihan, pasti memberikan hasil yang tidak ternilai. Suasana yang positif memberi kesan yang besar buat jiwa si anak dan mendidik anak tersebut untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan.
6) Bermain bersama anak
Apabila kita sering bermain bersama anak, secara tak langsung kita membantunya untuk belajar mengungkapkan apa yang dipendam. Jadi, belajarlah bermain dan bergurau dengan anak untuk menjalin keakraban supaya mereka tidak kekok untuk menyuarakan sesuatu dengan kita. Jujurlah dengan mereka supaya mereka melakukan yang sama kepada kita.
7) Membina keyakinan diri anak
Rasulullah SAW menggunakan beberapa kaedah untuk membina keyakinan diri anak. Baginda SAW melakukan sedemikian supaya setiap anak dapat membesar sebagai orang yang kuat jiwanya. Antara kaedah yang Baginda SAW guna untuk membina keyakinan diri anak ialah:
- Menguatkan keinginan anak
Menguatkan keinginan anak dengan membiasakan mereka menyimpan rahsia dan berpuasa.
- Membina kepercayaan sosial
Kepercayaan sosial anak terbentuk apabila mereka dapat menyelesaikan kerja rumah, melaksanakan perintah ibu bapa, berdialog dengan orang dewasa, berkumpul dan bermain bersama kanak-kanak lain.
- Membina kepercayaan ilmiah
Mengajar anak ilmu rujukan dari al-Quran, dan sunnah Rasulullah SAW dapat membesarkan anak dengan berbekalkan pengetahuan yang cukup mendalam. Pengetahuan yang akan membuatkan mereka merasa yakin dengan pengetahuan yang ada di mana kedua-dua ilmu tersebut adalah ilmu yang pasti dan jauh dari berbagai khurafat serta khayalan.
- Membina kepercayaan kewangan
Membiasakan anak melakukan transaksi jual beli dan bawalah mereka bersama ketika berbelanja.
Rasulullah SAW selalu menggunakan beragam panggilan ketika berdialog dengan kanak-kanak. Baginda SAW melakukan perkara ini untuk menarik perhatian anak dan meletakkan mereka dalam keadaan bersedia untuk menerima pembicaraan. Kegembiraan anak menerima panggilan yang baik akan membuatkannya dianggap penting di tengah khalayak ramai dan memudahkan mereka untuk menerima dan mengerjakan arahan yang diberi.
9) Mengabulkan keinginan anak
Ini adalah kaedah kejiwaan yang sangat agung dalam menyelesaikan banyak masalah kejiwaan. Semakin muda si anak, semakin harus dikabulkan permintaannya. Hal ini kerana kegembiraan di hati mereka dapat menghindar mereka dari melakukan perbuatan yang tidak baik dan tidak layak. Selain itu, bertambahnya keakraban kita dengan mereka dapat membantu mereka mendengar nasihat dan tunjuk ajar kita.
10) Mengulangi perintah
Anak kecil adalah sama seperti manusia lainnya yang mempunyai sifat lupa. Mereka tidak dibebani dengan tanggungjawab, melainkan hanyalah dipersiapkan untuk memikul tanggungjawab. Maka, janganlah bosan atau pun berputus asa untuk mengulangi perintah yang sama berkali-kali.
11) Bertahap dalam mendidik
Anak-anak kecil seperti ranting yang masih lembut dan basah, mereka perlu melalui tahapan yang berperingkat supaya sesuatu itu dapat kekal dalam jiwanya dengan mudah. Contohnya, solat mempunyai tiga tahap bersama anak:
- Tahap pertama: Bermula dari pertama kali si anak dapat berjalan dan dapat berbicara sampai usia 7 tahun. Pada tahapan ini, anak-anak akan lebih memerhati dan meniru aksi ibu bapanya dalam mengerjakan solat
- Tahap kedua: Tahap perintah yang bermula dari usia anak 7 tahun sehingga usia 10 tahun. Anak-anak perlu diperintahkan ibu bapa untuk mengerjakan solat
- Tahap Ketiga: Tahap hukuman, dari usia 10 tahun dan ke atas. Ibu bapa boleh memukul anaknya yang tidak mengerjakan solat pada tahapan ini.
12) Memberikan janji dan ancaman
Janji dan ancaman adalah kaedah kejiwaan yang cukup berjaya dalam mendidik anak. Kaedah ini merupakan kaedah al-Quran dan juga sunnah Baginda SAW. Jiwa manusia selalu condong kepada janji yang berupa ganjaran atas sesuatu dan takut kepada ancaman dari melakukan kesalahan. Pastikan ancaman yang diberi adalah untuk mendidik dan bukannya untuk membuatkan jiwa anak ngeri dan ketakutan.
Semoga bermanfaat, WaAllahu A'lam.
[Sumber rujukan: Prophetic Parenting ditulis oleh Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid]
0 ulasan