Cara Nabi (S.A.W) Mendidik Anak: Bedah Buku

By Huwaida - Januari 07, 2018

Buku Cara Nabi (S.A.W) Mendidik Anak atau lebih popular dengan nama Prophetic Parenting yang ingin saya bedah pada entry ini adalah hasil tulisan Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid. Tapi, buku yang saya baca adalah hasil terjemahan Farid Abdul Aziz Qurusy. 


Sebelum itu, buat pembaca blog ni, sebenarnya saya pernah menulis rumusan tentang buku yang saya baca di blog ini. Akan tetapi, disebabkan kekangan masa, saya berhenti menulis. Jadi, insyaAllah saya akan cuba untuk menulis kembali rumusan dari buku-buku yang saya baca supaya dapat menjadi rujukan buat pembaca lain.

Untuk pengetahuan semua, saya mula membaca buku ini apabila disahkan hamil untuk kali kedua. Disebabkan semasa kehamilan kedua, saya mengalami alahan yang teruk, saya lebih banyak baring di katil. Jadi, buku ini menjadi teman sekatil 😁. Alhamdulillah, buku yang mempunyai lebih kurang 684 halaman ini habis jugak dibaca walaupun asyik tertidur terbangun entah tak tahu berapa juta kali. Hihi.

Bagi saya, agak susah sebenarnya membaca buku hasil terjemahan kerana penterjemah perlu terjemah setiap penulisan penulis tanpa menerangkan sesuatu dengan cara sendiri. Jadi, penterjemah perlu berusaha keras mencari perkataan dan membina struktur ayat yang sesuai. Manakala pembaca pula perlu membaca dengan lebih teliti.

Menariknya buku ni, penulisannya yang sangat berisi menjadi lebih menarik dan tersusun apabila memaparkan kronologi bagaimana mendidik anak bermula dari pemilihan bakal pasangan. Oleh sebab itu, buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua golongan. Bukan tunggu jadi mak buyung atau suami kepada mak buyung, baru nak mula baca.

Bayangkan penulis juga menyelitkan sedikit perkongsian untuk mengubati kemandulan. Jadi, buku ini memang patut dimiliki semua yang mempunyai perancangan untuk memiliki zuriat keturunan. Selain itu, penulis juga menerangkan secara terperinci tentang proses menyambut kelahiran anak yang mungkin ada di kalangan kita masih samar-samar.

Buku ini menegaskan pendidikan anak bermula dari detik kita memilih pasangan, diikuti dengan hubungan intim suami isteri, detik pertama anak berada di dalam rahim ibu sehinggalah apabila anak ditakdirkan untuk meneruskan kehidupan di alam dunia.

Setiap isi yang diketengahkan akan disertakan cerita sahabat, hadith atau ayat al-Quran sebagai penerangan. Bukan sahaja menyenaraikan cara didikan, penulis juga cuba menyelitkan beberapa penyelesaian kepada permasalahan yang sering dialami. Jika kita dimomokkan bahawa mendidik atau menjaga anak perempuan lebih susah, buku ini ada menyelitkan tentang cara mendidik anak perempuan.

InsyaAllah, jika berkesempatan saya akan cuba berkongsi isi-isi buku ini dalam entry yang berkaitan. Apa pun, bagi saya buku sebegini patut dimiliki oleh setiap dari kita kerana ilmu itu mampu menyuluh setiap tindakan kita. Jujur saya katakan, saya sendiri tidak mampu mengingati semua yang dibaca lantaran ilmu yang ditulis ini hanya akan diingati apabila diamalkan.

Semoga saya dapat beramal dengan ilmu yang dibaca. Saya doakan yang sama untuk saudara-saudara seIslam saya yang lain. Amiin Ya Rabb.


  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan