Kita semua sedia maklum bahawa kira-kira 70% daripada badan kita terdiri daripada air. Akan tetapi tidak semua daripada kita betul-betul memahami bahawa kita sebenarnya perlu minum lebih banyak air jika kita ingin memiliki kadar metabolisme badan yang terbaik dan optimum.
Kajian menunjukkan bahawa atlet yang kehilangan air sebanyak 2% daripada berat badan mereka melalui peluh, akan segera mempunyai prestasi buruk dan 5% dehidrasi yang berlaku dapat mengurangkan kapasiti kerja sebanyak 30%.
Antara khasiat air kosong ialah:
- Menghapuskan toksin dan garam
- Mengawal selera makan
- Meneutralkan tubuh badan
- Memberi tenaga
- Memastikan kulit dan buah pinggang dalam keadaan sihat
Tubuh manusia tidak dapat menyimpan air yang diminum walaupun badan sentiasa memerlukan air untuk beroperasi dengan baik. Oleh itu, adalah perlu untuk kita kekal hidrasi sepanjang hari. Menjadikan aktiviti meminum air kosong dengan kadar yang optimum sebagai amalan harian adalah sukar jika kita tidak dilatih dengan betul.
Memang diakui ia mengambil masa untuk menjadi kebiasaan. Akan tetapi, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Berikut adalah petua mudah Julien Haroun dengan sedikit modifikasi dari saya untuk membantu kita minum lebih banyak air kosong:
1. Beri perhatian terhadap isyarat badan kita
- Kita akan lebih termotivasi apabila kita tahu kondisi tubuh kita. Antara cara mudah untuk mengetahui badan kita memerlukan lebih banyak lagi air kosong ialah dengan memantau air kencing kita. Jika kuantiti air kencing kita adalah sedikit dan berwarna gelap, maka badan kita memerlukan lebih banyak air kosong
2. Sediakan jadual
- Kita boleh sediakan jadual untuk memastikan kita meminum air kosong secukupnya. Contohnya, kita boleh biasakan diri untuk meminum segelas air kosong sebelum tidur, selepas bangun tidur, sebelum mandi dan setiap kali selesai solat (5 waktu).
3. Larutkan air dengan menggunakan buah citrus
- Adalah sukar bagi sesetengah orang untuk minum air kosong kerana bagi mereka meminum air kosong adalah membosankan. Jadi, jika ada dikalangan kita yang sangat peduli terhadap rasa, cuba larutkan sedikit air kosong dengan buah-buahan citrus. Akan tetapi, pastikan anda menjauhkan diri daripada pemanis buatan. Ini mungkin dapat membantu anda untuk keluar daripada alasan "air kosong membosankan".
4. Minum dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap
- Adalah diingatkan, masa terbaik untuk kita minum air adalah apabila kita bangun dari tidur, satu jam atau lebih sebelum / selepas makan, sebelum mandi dan sebelum tidur. Kita boleh minum 120-140 mL air dengan makanan. Akan tetapi lebih daripada itu akan mengganggu proses pencernaan kita.
5. Gunakan kalkulator pengambilan air
- Gadget seperti MyFitnessPal boleh membantu kita untuk mengetahui berapa banyak yang kita perlukan dan akan merancang pengambilan air kita dengan lebih mudah.
6. Ambil air kosong yang sejuk
- Minum air kosong sejuk supaya kita tidak mudah bosan. Selain itu, meminum air kosong yang sejuk akan membuatkan badan kita menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan badan.
Sekian, semoga bermanfaat.
0 ulasan