Tips Menjayakan Penyusuan Susu Ibu

By Huwaida - November 05, 2018

Setiap wanita sememangnya berhasrat untuk menyusukan bayi mereka sendiri. Hal ini kerana, terlalu banyak manfaat yang boleh diperolehi samada kepada bayi, malah kepada si ibu yang menyusu sendiri. Malah, penyusuan susu ibu ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibu dan bayi. Indahnya saat-saat menyusukan sendiri bayi akan dikenang, hatta bayi kita telah bergelar dewasa kelak. 

Tips menjayakan penyusuan susu ibu (PSI) ini, saya kongsikan daripada seorang ibu bekerjaya yang berpengalaman selama 3 tahun menyusukan 2 orang anak semasa tips ini dikongsikan (Shima Zainal). Dan kebanyakan tips yang dikongsikan adalah berpandukan kepada buku tulisan Dr. Faridah Idris berjudul "Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu". Tak rugi jika anda melabur sedikit untuk dapatkan buku ini.

Antara buku rujukan untuk menjayakan penyusuan susu ibu.


Saiz Perut Bayi

Bagi sesetengah ibu, pada hari pertama dan kedua selepas kelahiran, mereka akan mula mengepam susu kerana kononnya ada rasa bengkak. Tapi, apabila dipam, yang keluar hanyalah kurang lebih 1 auns. Mereka akan mula merasa mungkin susu mereka tak mencukupi padahal susu badan ibu sememangnya akan sentiasa mengikut keperluan bayi. Jadi, adalah amat penting untuk ibu mengetahui info tentang saiz sebenar perut bayi, supaya ibu akan menjadi lebih berkeyakinan.
  • Hari pertama dan kedua:
Perut bayi sebesar buah ceri atau guli, berisipadu 5-7 mL.

  • Hari ke-3 dan ke-4: 
Perut bayi sebesar kacang walnut atau sebesar genggaman tangan bayi tersebut, yang berisipadu antara 22-27 mL atau dalam anggaran 1 auns.

  • Hari ke-5 dan ke-6: 
Saiz perut bayi sebesar Aprikot; dalam anggaran 1.5-2 auns.

  • Hari ke-7, minggu ke-2 dan ke-3: 
Saiz perut bayi sebesar telur.

Persediaan Penyusuan Susu Ibu

Persediaan PSI sepatutnya bermula seawal sebelum bersalin terutamanya bagi mereka yang sedang menantikan kelahiran bayi pertama. Terdapat 7 persediaan yang boleh dilakukan oleh ibu hamil sebelum memulakan PSI:

1) Penuhi minda dengan ilmu

Ilmu tentang PSI sangat penting. Samada melalui pembacaan sendiri, menghadiri kelas atau mengakses dari sumber media sosial, ibu digalakkan untuk mencari serba sedikit ilmu tentang PSI. Antara perkara yang perlu diketahui tentang ilmu penyusuan ialah, cara penyusuan yang betul, tips untuk membekalkan susu yang mencukupi untuk bayi, serta perkara yang boleh menyebabkan susu merudum.

2) Berbincang dengan suami 

Selalunya para suami kurang ambil kisah hal PSI ini (ikut pengalaman dan pemerhatian). Walaupun begitu, saya tak menafikan mungkin ada segolongan suami yang sangat menitikberatkan tentang PSI. Namun, sebagai bakal ibu, kita perlu berbincang dengan suami tentang PSI supaya kita akan diberi sokongan kelak. 

Ambil masa untuk ceritakan kepada suami tentang kelebihan menyusu anak dan kelebihan susu ibu kepada anak. Nyatakan hasrat dengan jelas kepada suami bahawa kita sememangnya mahu menyusukan anak. Pesankan juga kepada suami, jika pada hari-hari awal penyusuan bermula, bayi kerap menangis setiap kali selesai menyusu, jangan memberi kita pilihan untuk membeli susu formula. Suami perlu terus memberi sokongan dengan menyatakan kita mampu melakukannya. Supaya nanti, keyakinan kita bertambah. Apabila ibu kurang stress, insya Allah susu badan mudah dihasilkan.

3) Pilih doktor atau hospital yang mesra penyusuan (breastfeed friendly)

Pemilihan ini sangat penting terutamanya bagi yang menantikan kelahiran bayi pertama. Ibu perlu diajar cara menyusu dengan betul dan bayi perlu dibenarkan untuk diberi kepada ibu untuk menyusu secepat yang mungkin. Kemudahan yang mungkin kita peroleh apabila berada di hospital yang breastfeed friendly adalah bayi memang akan ditempatkan bersama-sama ibu, bukan di bilik khas yang lain. Hal ini memang memudahkan urusan penyusuan si ibu yang mungkin masih merasa penat menghadapi proses melahirkan.

4) Berbincang dengan majikan dan rakan sekerja bagi yang bekerja.

Perbincangan ini cukup sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan yang pernah menjayakan PSI mereka dan meminta supaya diberi sokongan dengan cara menghormati keputusan dan bertolak-ansur dengan situasi kita kelak.

5) Mencari pengasuh atau taska yang mesra PSI

Pengasuh atau taska yang mesra PSI sudah berpengalaman untuk menguruskan susu ibu yang dibekalkan kepada mereka. Misalnya, mereka sudah tahu cara untuk menyimpan dan 'defrost' EBM (Expressed Breast Milk). Walaupun begitu, jika tidak jumpa mereka yang sebegitu sekalipun, mungkin si ibu sendiri perlu memberitahu sendiri cara-cara menguruskan EBM kepada pihak tersebut.

6) Cuba berlatih posisi memegang anak semasa PSI

Apabila sudah terlalu hampir hari untuk bersalin, ibu perlu cuba berlatih posisi memegang anak semasa PSI supaya tidak terlalu kekok nanti (boleh guna bantal atau yang seumpamanya). 

7) Mula berhubung dengan payudara

Apabila kandungan sudah mencapai 7 atau 8 bulan ke atas, ibu boleh mula mengurut perlahan-lahan  payudara untuk trigger dan memberi signal yang kita bakal menyusu.

Keperluan PSI

Antara keperluan yang wajar disediakan untuk menyokong proses penyusuan adalah:

1) Sediakan bra atau baju menyusu yang bersesuaian

- Boleh je pakai baju biasa, tapi kalau beli yang sesuai, kerja penyusuan menjadi lebih mudah. Tak perlu beli yang mahal, cukup sekadar yang memudahkan urusan penyusuan nanti.

2) Beli pam yang bersesuaian dan dalam budget

- Semua jenis pam pun bagus, tapi lebih baik 'survey' terlebih dahulu supaya berbaloi melabur nanti.

3) Beli botol susu bersesuaian

- Beli botol susu atau bekas menyimpan stok susu yang sesuai untuk proses penyimpanan stok susu.

Posisi Penyusuan Yang Betul

  • Ibu dan bayi perlu selesa supaya 'flow' pengeluaran susu bagus
  • Bahagian belakang ibu perlu tegak dan tak bongkok
  • Gunakan bantal dan letakkan di belakang, kiri atau kanan ibu bagi mendapat keselesaan.
  • Jika menyusu sambil duduk di kerusi biasa, letakkan kaki di atas kerusi kecil supaya selesa.

Contoh Posisi Penyusuan

  • Posisi buai (cradle hold) - ini adalah posisi kegemaran ramai (Kepala, badan dan punggung bayi berada dalam keadaan selari, kepala bayi menghadap payudara ibu dengan keadaan kepala sedikit terdongak, serta hidung bayi sama aras dengan payudara ibu, dan berlaku 'tummy to tummy' antara ibu dan anak).
  • Posisi selang buai (cross cradle)
  • Posisi mendakap (football hold)
  • Posisi berbaring atau mengiring
  • Posisi biological nurturing
Contoh posisi penyusuan

Posisi biological nurturing


Jadual Mengepam Susu Ibu 

Adalah amat penting khususnya bagi ibu yang bekerjaya untuk mengatur jadual mengepam susu ibu. Antara perkara yang perlu diketahui semasa membuat jadual mengepam susu adalah:
  • Jadual mengepam susu adalah berbeza untuk setiap ibu.
  • Pam setiap kali pada waktu anak perlu disusukan - semasa berpantang, ibu selalunya akan terbiasa dengan jadual menyusu anak.
  • Jika waktu ibu bekerja adalah antara 8-9 jam, sebaiknya pam setiap 3 jam, contohnya 10 pagi, 1 petang dan 4 petang.
  • Ikut jadual mengepam secara konsisten - supaya konsep 'supply and demand' dapat dipenuhi.
  • Gantikan sesi pam yang tertinggal di pejabat dengan pam pada waktu malam atau dengan melakukan tandem nursing.
Adalah diingatkan untuk para ibu supaya mengelakkan diri dari terjebak dengan stress yang melampau. Stress sangat 'jahat' sebab boleh merencatkan hormon oxytoxin dan melambatkan refleks penghasilan susu. Jadi, ibu perlu tenangkan hati apabila mahu mengepam susu. Ibu boleh gunakan strategi 4R untuk release stress (iaitu recreation, resolve, revise, rileks)  sebelum menyusukan anak atau mengepam susu.

Selain itu, ibu perlu sedar yang bukan semasa hamil sahaja ibu memerlukan nutrisi seimbang. Ibu yang menyusukan juga memerlukan nutrisi seimbang. Antara makanan yang bantu banyakkan susu adalah makanan yang rendah lemak tepu dan kolesterol. Pastikan ibu minum apabila haus dan lazimi untuk mengambil segelas air setiap kali susukan anak dan mengepam susu. Antara punca ibu sukar membuang adalah mungkin kerana kekurangan air.

Antara makanan yang dikatakan mampu memeriahkan susu ibu adalah:

  • lobak putih
  • jantung pisang 
  • longan kering
  • bijirin
  • kurma
  • soya
  • sayuran hijau seperti sawi dan kucai
  • lobak merah 
  • pucuk manis
Apapun, emosi ibu sangat penting untuk menjayakan PSI. Keselesaan juga sangat penting. pastikan ibu menjaga pemakanan dan pengambilan air. Tambahan bagi ibu yang bekerja, pastikan ibu mengepam mengikut jadual.šŸ˜

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan