Aku???

By Huwaida - Jun 17, 2011

Awal bulan Jun lalu, aku menghitung hari untuk melihat gerhana bulan kerana dianggarkan gerhana penuh ini hanya berlaku 11 tahun sekali. Lebih membuatkan aku ternanti-nanti apabila dikatakan gerhana itu mungkin dapat dilihat antara pukul 9 malam(15hb) hingga pukul 7.30 pagi keesokannya(16hb). Sudah tentu aku tidak sabar menanti.


Tapi ternyata, aku bukanlah dikalangan orang yang ditakdirkan Allah untuk mendapat kesempatan itu. Aku telah disibukkan dengan urusan lain. Aku sebenarnya telah terlupa langsung tentang tarikh yang aku tunggu-tunggu itu. Tapi peliknya, tidak terdetik langsung rasa kecewa dihati. Hal yang berlaku pada pagi 15hb itu ternyata lebih memberi kesan dihati.

Detik-detik aku mula membuka laptop dalam 12 tengahari itu, tanpa menduga sesuatu telah berlaku, kerana ada urusan lain yang aku ingin selesaikan pada masa itu. Ternyata urusan itu juga aku lupakan dek penangan berita yang aku dapat. Antara percaya atau tidak. Terkaku, terasa sejuk seluruh badan, tiada kata yang aku dapat luahkan, cuma doa sahaja yang mampu aku titipkan. Bergenang juga air mata, tapi aku dapat mengawal diri apabila memikirkan ianya urusan Allah. Sebagai manusia, aku harus cuba menerima dan berusaha melakukan sesuatu. 'atleast doa', begitu agaknya detik hatiku ketika itu. Tidak beberapa lama kemudian, telefon berdering dari seorang senior yang suatu ketika dahulu ada di setiap babak-babak perkenalan kami. Ya Allah, aku lemah rupanya. Salam yang dia berikan pun tak dapat aku jawab. Aku langsung tak dapat menuturkan kata dengan jelas, untuk menghamburkannya juga sukar. Air mata tak langsung dapat ku tahan dari mengalir. Kenangan-kenangan bekerja bersama tergambar kembali. Ya Allah, terlalu banyak kesalahan aku kepada sahabatku itu ya Allah. Ampunkanlah aku dengan kejahilanku. Mungkin dia tidak pernah berbuat salah padaku, tapi ampunkanlah dosanya, rahmatilah dia, kau lipat gandakanlah amalan-amalan kebajikannya.

Sebenarnya, aku ingin sekali menulis semua ini sewaktu post aku yang lepas semasa aku membuat pengumuman untuk pemergian arwah. Ternyata, langsung tiada kata yang dapat ditulis ketika itu. Dan yang pentingnya, post yang aku mahu buat kali ini adalah untuk memberi peringatan kepada diriku tentang kematian. Tapi, nampaknya aku sudah menyimpang.(hihi)

Ya Allah, aku mungkin yang seterusnya, maka berilah hidayah kepadaku supaya aku dapat beramal untuk mengecapi redhaMu. Aku mungkin bukan hambaMu yang layak mendapat syurgaMu yang tertinggi. Namun, aku langsung tak tersanggup untuk berada dalam nerakaMu yang mengerikan. Ya Allah, aku bermohon untuk hidup dan mati dengan redhaMu. Tak terhitung dosaku pada orang sekelilingku. Ampunkanlah aku Ya Allah. Moga-moga mereka juga memaafkan aku. "Maafkanlah aku wahai penduduk dunia, aku langsung tidak dapat menahan kejahilan aku dengan berbuat dosa kepada kalian."

~Mengharapkan jika aku sempat sampai kepada Ramadhan kali ini, ia dapat menjadi bulan latihan yang bermakna.

-16 Rejab 1432H-

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan