Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [At-Taubah 9:24]
Ada dikalangan muslim yang lemah imannya, apabila menemui ayat sebegini, cuba untuk tidak mentadabbur dan bermuhasabah diri. Astaghfirullah al-A'zim, mengapa perlu takut untuk mengamalkan perintah Tuhan yang menciptakan, malah begitu menyayangi setiap ciptaanNya. Pelbagai alasan bermain di fikiran dan cuba dipersoalkan, akan tetapi tidak sanggup untuk diluahkan lantaran iman yang masih sedikit berbaki di dada. Bukan sahaja 'buat-buat tak tahu', malah sengaja ditolak ke tepi dan tidak cuba memikirkan untuk bermuhasabah. Sesungguhnya, yakinlah dengan sepenuh jiwa, Allah tidak akan pernah berlaku zalim terhadap hambaNya, bahkan hamba-hambaNyalah yang selalu berlaku zalim terhadap diri mereka sendiri.
Barang siapa yang cintakan sesuatu, maka dia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Barang siapa yang mencintai sesuatu, maka dia banyak menyebutnya, mengingatinya, dan memikirkannya (Ibnu Ata'illah – Kitab Al-Hikam )
Nah, inilah hakikat yang akan dihadapi oleh seorang insan apabila cintakan sesuatu. Jadi, mencintai Allah lebih daripada seisi dunia yang lainnya, lebih fitrah dan cukup menjaga hati dan diri kita sebagai hamba Allah yang sangat lemah. Cintakan bunga, bungakan layu, cintakan manusia, manusiakan mati. Maka, sebaiknya cintailah Allah sebanyak yang mungkin kerana Dialah yang lebih layak untuk itu. Lantas, terdetik lagi di satu sudut fikiran sang makhluk yang bergelar hamba Allah, "Aku insan biasa, sedang Nabi Allah Adam juga memohon untuk dikurniakan seorang pendamping, salahkah aku untuk meminta sedemikian rupa". Cilik juga 'sang makhluk' yang berusaha untuk membisikkan bisikan nafsu itu.
Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Sahih Bukhari)
SubhanaAllah, Allah begitu menyayangi setiap ciptaanNya. Yakinlah dengan janji Allah. Cintailah Allah, dan Allah akan memelihara cinta yang tersulam indah sesama manusia. Lebihkanlah mencintai Yang Esa, pasti ada hikmah yang ternanti kerana rahmat Allah lebih luas. Setitis yang kita berikan pasti akan dibalas dengan selautan kurniakan bahkan mungkin lebih daripada yang kita bayangkan.
Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. (Hamka)
Jika adanya alat ukuran untuk mengukur kesan cinta terhadap diri kita, sudah tentu cinta Allah dapat menunjukkan tindak balas yang lebih memberangsangkan. Sungguh, kita tak akan pernah lemah dengan mencintai Allah.
يا ربي, أسألك أنه أحب اليه مما سواك
(Ya Rabbi, asaluka annahu ahabba ilaihi mimma siwaak)
Wahai Tuhanku, aku bermohon kepadaMu untuk Engkau menjadi yang lebih aku cintaii daripada yang selainMu~
-1 Syaaban 1432H-
0 ulasan