Catatan tentang 'Kenapa Saya Perlu Bersyukur' adalah catatan saya di laman FB saya. Saya cuba kongsikan di sini supaya ramai lagi yang boleh membacanya.
Situasi 1:
Beberapa minggu lalu, kami pergi pasaraya untuk membeli barang dapur. Seperti biasa, kami tiba di pasaraya agak lewat. Dalam sejam atau kurang, pasaraya terbabit akan tutup pada pukul 10malam.
Pada waktu begini, memang otak dipaksa untuk berfikir lebih laju supaya barang dapur untuk seminggu dapat dibeli dengan pantas dan mencukupi. Sampai di kaunter untuk timbang dan dapat tag harga barang, saya menyapa adik di kaunter untuk dapatkan rapport, almaklum la sebab banyak staf dah berkemas-kemas untuk menamatkan operasi kedai untuk hari itu.
Datang seorang lelaki pertengahan usia. Pak cik tersebut juga menyapa mesra anak saya, Asmaa yang berada dalam troli. Entah bagaimana mata saya terpandang apa yang pak cik tersebut bawa.
Dia membawa bungkusan buah dan sayur yang banyak rosak dari elok. Dia cuba sembunyikan apa yang dibawa. Sesekali dia menyapa Asmaa dan kali yang lain saya melihat matanya yang seolah meliar untuk memandang arah lain. Mata tersebut berair.
Selepas habis mendapatkan tag harga barang, saya sempat melemparkan senyuman kepada lelaki tersebut dan bergegas pergi. Sempat saya terdengar dia menawar harga untuk mendapatkan harga murah lantaran buah dan sayur yang diambil telah rosak teruk.
Saya tidak dapat mendengar butir ucapan lain kerana saya memang berhasrat untuk bergegas supaya saya tidak langsung mendengar percakapan mereka yang selanjutnya. Bila sampai dalam kereta, saya ceritakan hal tersebut kepada abang.
Akhir cerita saya kepada abang, "Abang, kita kena bersyukur sangat sebab bila kita pergi pasar, kita boleh pilih buah yang masih elok. Ada orang yang pergi pasar terpaksa pilih buah yang tak elok".
Situasi 2 (terakhir):
Sebab apa situasi ni situasi kedua dan terakhir? Sebab banyak sangat sebenarnya sabab musabab kita perlu bersyukur. Setiap pagi, bila bangun dari tidur, dapat menghela satu nafas pun kita perlu sangat bersyukur.
Dan banyak sangat situasi yang berlaku disekeliling kita dan yang boleh diambil pengajaran supaya kita tak terleka untuk bersyukur. Sengaja saya create episod "KENAPA SAYA PERLU BERSYUKUR?" di laman fb saya supaya ianya menjadi peringatan untuk diri dan orang sekeliling.
Sebab bila saya tulis, saya lebih ingat. Dan semoga di atas usaha saya ni Allah akan berikan hidayahNya kepada saya supaya saya selalu beringat dan sentiasa dalam redhaNya. Panjang pulak mukadimah 🤣.
Ceritanya jumaat lepas kami sekeluarga pergi pasar basah. Antara agenda kami adalah membeli ikan untuk membuat kuah laksa untuk ulang tahun kelahiran suami saya. Kami berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain bertanyakan harga ikan.
Memang itu rutin yang kami selalu buat. Tak pernah terus beli. Kami akan cuba untuk dapatkan harga yang berpatutan dengan barang yang ingin dibeli. Kami mengambil keputusan untuk membeli di gerai kedua. Semasa selesai membuat pilihan dan ingin membayar, datang seorang pak cik yang lanjut usia dan ingin membeli ikan dengan harga RM1.
Cepat-cepat penjual ikan tersebut memasukkan beberapa ekor ikan kembung/selayang saiz kecil (lebih kurang 5 ekor) ke dalam plastik. Dan terus memberi kepada warga emas terbabit (tanpa ditimbang ikan tersebut seperti yang sepatutnya) dan mengambil wang RM1 dari warga emas tersebut.
Seperti biasa, apabila mata pak cik terbabit (atau sesiapapun sepertinya) memandang saya yang berada disebelahnya, saya tak pasti bagaimana saya perlu bereaksi. Saya hanya mampu tersenyum dengan harapan semoga apa yang pak cik tersebut rasakan waktu itu adalah sesuatu yang indah. Jika pun tidak, semoga senyuman saya mampu meredakan apa yang dia rasakan. Pak cik tersebut berlalu pergi tanpa singgah di gerai-gerai lain (mungkin sudah tiada lagi RM1 ditangannya waktu itu).
Begitu banyak pengajaran yang saya dapat dari situasi seperti ini. Apapun, berSYUKURlah jika kita masih mampu membawa duit lebih dari RM1 setiap kali ke kedai.
Waallahu 'Alam
0 ulasan