Sejak bilakah sejarah cinta itu bermula dalam peradaban manusia? Hakikatnya, cinta itu bermula sejak Nabi Adam diciptakan lagi. Nabi Adam patuh dengan perintah Allah, tetapi dia tetap merasakan jiwanya kekosongan dan ingin berteman. Perasaan ini lahir bukan sahaja disebabkan fitrah manusia diciptakan sebegitu, tetapi ia juga sebenarnya suatu tanda kelemahan manusia itu sendiri. Lantaran itulah, hawa diciptakan dan terjalinlah hubungan cinta antara mereka. Atas nama cinta itu tadi juga, berkembanglah keturunan manusia hingga ke hari ini.
Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Merana rasanya apabila bercinta dengan yang tidak mencintai. Alangkah indahnya hidup ini kerana kita telah dijanjikan bahawa sesiapa sahaja yang bercinta dengan Allah, maka cintanya pasti akan berbalas. Bukan itu sahaja, kita juga telah dijanjikan dengan ganjaran yang teristimewa. Sebaliknya, kita tak pernah diberi sebarang kepastian apabila bercinta dengan manusia.
Cinta Allah tidak terhad dan tidak untuk sebarang kepentingan. Allah tidak memilih untuk mencintai hambanya yang elok rupanya, menawan gayanya atau yang tinggi darjatnya. CintaNya boleh direbut oleh sesiapa sahaja dan Dia pasti mampu untuk membalas cinta itu kepada setiap jiwa yang berusaha menagih cintaNya. Beruntunglahlah mereka yang bercinta dengan Allah kerana mereka akan sentiasa mendapat perhatian, cinta dan kasih sayangNya. Berbahagialah juga mereka kerana seluruh isi langit dan bumi akan turut mencintai mereka.
Kita pasti tidak mahu gagal dalam bercinta. Maka, bersama-samalah kita mencintai Allah. Dengan itu, cinta kita akan sentiasa dibalas, malah kita pasti mendapat ganjaran yang istimewa dariNya. Bukan sahaja di akhirat kelak, malah di dunia lagi kita pasti dapat merasa balasanNya di setiap sudut dalam hati kita.
Ya Allah, Kau peliharalah hatiku untuk sentiasa mencintaiMu. Tsabitkanlah hatiku untuk terus menagih cintaMu. Ya Rabbul ‘Izzati, sesungguhnya cinta itu sendiri adalah milikMu. Kau telah menetapkan bahawa RasulMu,Muhammad(s.a.w) adalah pencinta teragung. Agungnya cinta Rasullullah(s.a.w) kepadaMu sehingga beliau amat berharap umatnya akan taat ajaran serta perintahMu. Sampai apabila tiba detik terakhir hayatnya, beliau masih lagi memanggil-manggil umatnya tanda betapa beliau mencintai umatnya kerana cintanya kepadaMu. Lantaran itu, Kau tautkanlah juga hatiku kepada setiap jiwa yang mencintaiMu. Jalan menuju redhaMu telah ditetapkan untuk penuh berduri dan berliku. Sesungguhnya jiwa hambaMu ini lemah. Ku mohon agar Kau sentiasa berikan petunjuk dan pertolonganMu, moga-moga aku berjaya menyusuri jalan tersebut.Ameen, ameen, ameen Ya Rabbal ‘Alamin….
-14 Zulhijjah 1430-
0 ulasan