Bila Hati Itu Milik Allah

By Huwaida - Mac 24, 2018

Kadang-kadang kita sangat nakal. Kita suka meletakkan seseorang selain Allah di hati kita. Mulanya  kita katakan, Allah masih di hati. Semakin hari, tanpa kita sedar kita sudah ingkari janji yang dibuat. Kita seakan sudah terlalu alpa tentang hakikat sebenar sebuah kehidupan. Sedangkan hati itu milik Allah.


Apabila alpa, kita berjalan di bumi Allah dengan riangnya bersama-sama insan yang juga Allah takdirkan untuk kita. Berjalan dengan serba kekalutan dan berkira-kira waktu untuk Allah padahal masa itu Allah jualah yang aturkan. Berjalan dengan kemegahan dek status diri yang gah di mata manusia sekeliling.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah apabila Dia sangat sayangkan kita dan menjentik kita dengan ujian yang maha ringan. Bergegar kita dengan ujian tersebut, terasa seperti gunung yang menghempap. Padahal, jentikan itu hanyalah jentikan yang lemah. Tersungkur kita dengan air mata yang mengalirnya terasa seperti aliran sungai.

Ada yang tewas kerana tak jujur dengan diri untuk mencari apa yang dia telah hilangkan. Hati merasai kepahitan dan kekosongan, tapi diri masih ego untuk merungkai kesalahan diri dan mencari  penyelesaian. Malah, dia menyalahkan semua yang berada, dan berlaku disekelilingnya. Semakin hari, dia semakin jauh dari Yang Maha Pencipta. 

Ada yang tega mencari semula dek kerana kekosongan membuatnya tidak keruan. Dia mencabar diri untuk menarah tugu ego yang ada. Merayu supaya diberi hidayah. Meratap supaya disuluhkan jalan. Air mata mengalir semahunya sehingga dikhuatiri airnya kering. Semakin hari, dia semakin dekat dengan Yang Maha Mencipta.

Kita yang mana? Sesungguhnya hati ini milik Allah, biarlah Pemiliknya yang bertakhta di situ. Jangan pernah nafikan hak Pemilik itu.

-Huwaida, 6 Rejab 1439H-


  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan