Alahan Mengandung: Pengalaman Saya

By Huwaida - Mac 11, 2018

Ada orang yang mengalami alahan mengandung yang teruk, ada juga yang mengalami alahan mengandung yang biasa-biasa, bahkan ada juga yang tidak mengalami sebarang alahan. Pelbagai pendapat yang kita boleh dengar tentang alahan mengandung ni. Ada yang cakap alahan mengandung kita akan lebih kurang sama dengan ibu kita. Pendapat yang lebih saintifik adalah, tahap alahan kita mengikut tahap hormon kita.

Dua-dua pendapat di atas memang dapat dikaitkan. Kenapa? Sebab tahap hormon kita memang boleh dipengaruhi oleh faktor genetik. Apapun saya nak ceritakan pengalaman alahan saya. Bagi saya, tahap alahan yang saya alami tidaklah begitu teruk. Saya masih mampu bertahan dengan alahan yang saya alami tanpa bantuan luar.

Perkara pertama yang saya dapat rasa sebelum disahkan mengandung adalah mulut saya menjadi lebih tawar/pahit. Sebelum disahkan mengandung saya cuba untuk bersenam kerana berat badan saya seolah-olah naik dengan mendadak. Jadi, setiap kali bersenam tak sampai 2 minit, mulut saya dah terasa pahit. Selepas dapat tahu mengandung, tak lama selepas tu alahan saya menjadi semakin teruk.

Saya mula rasa mual setiap kali berus gigi pada waktu pagi. Saya tidak boleh bau sabun mandi. Kiranya, hampir 6 bulan saya tidak memakai sabun atau pencuci muka. Saya juga tidak boleh berada di bawah kipas. Angin kipas tu memang membuatkan saya mual. Angin dari sumber semulajadi pun tak boleh. Jadi, abang masa tu terpaksa la berpeluh ketika tidur.

Sebenarnya saya juga berpeluh sampai tahap naik jerawat batu lagi. Tapi, apakan daya memang tak boleh sangat nak hadap angin kipas. Melihat cahaya terang pun tak boleh. Jadi, rumah masa tu macam gua semasa siang. Boleh bayang tak? Tapi, alhamdulillah cahaya lampu waktu malam masih boleh saya hadap. Cahaya dari skrin telefon bimbit dan komputer riba pun tak tahan jugak. Jadi, semasa tu, saya banyak habiskan masa dengan membaca buku dan baring.

Sebab apa baring? Sebab saya tak boleh pijak lantai rumah. Rasa sejuk sampai ke tulang. Jadi, katil memang tempat ideal untuk saya lepak. Memang masak pun tidak la waktu tu. Sebab tak boleh hidu bau minyak, bawang dan sebagainya. Bukan masak ja, sapu sampah pun tidak boleh. Abang yang tolong sapu sampah setiap kali dia off. Suami saya masih bekerja secara syif waktu saya morning sickness.

Nak makan memang tak lalu sangat, saya banyak minum air zamzam dan air mineral. Bau benda bergoreng tu memang memualkan. Masa tu saya fikir, mungkin saya tak berpeluang langsung untuk hadiri majlis konvokesyen ijazah sarjana saya. Tapi, abang memang excited nak pergi. Apapun, saya memang dah pasrah waktu tu.

Alhamdulillah, Allah permudahkan juga urusan saya untuk menghadiri majlis konvokesyen saya. Boleh tengok gambar kat bawah ni. Tapi, abang la yang pakai jubah konvo dalam gambar tu. Waktu  gambar tu nak diambil saya rasa nak pitam sebab jubah konvo agak tebal mungkin selain matahari petang yang juga masih terik. Sebab tu cepat-cepat buang dan minta abang yang pakai.

Tengok muka dalam gambar ni pun dah tak sememeh sangat
Merasai alahan mengandung adalah satu nikmat yang memberi banyak hikmah. Hikmah yang perlu diperincikan sendiri supaya kita dapat menjalani episod-episod indah semasa bergelar seorang ibu. WaAllahu A'lam.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan