5 Amalan Disaat Hilang Sumber Pendapatan

By Huwaida - Februari 09, 2018

Sebenarnya tangan ni nak taip tentang tajuk lain tadi, tapi kebetulan pukul 9 malam tadi ada dengar perkongsian Sifu Ajim tentang amalan beliau disaat beliau hilang sumber pendapatan. Bagi yang belum tahu, Sifu Ajim adalah pengasas kepada satu teknik menambah followers dan engagement di instagram.


Sifu Ajim yang sebelumnya seorang photographer dan videographer terpaksa berhenti bekerja kerana ditimpa PID (Pelvic Inflammatory Disease). Pada mulanya Sifu hilang arah dan emosi terganggu apabila telah cuba berubat ke merata tempat. Sifu buntu. Akan tetapi, apa yang Sifu Ajim amalkan selepas itu membuahkan hasil setelah Allah mengilhamkannya dengan ilmu berkaitan instagram yang jauh lebih baik dan dapat dikongsi oleh begitu ramai pengguna instagram.

5 amalan disaat Sifu hilang sumber pendapatan adalah:

1) Kesedaran Bersyukur

Bersyukur bukanlah hanya apabila kita menerima nikmat dari Allah. Bersyukur juga perlu apabila kita ditimpa ujian Allah. Hal ini kerana rasa bersyukur itulah yang menunjukkan betapa yakinnya kita bahawa apa yang dikurniakan Allah kepada kita sama ada baik atau buruk itulah yang terbaik.

2) Berdoa

Berdoa menunjukkan betapa kita menaruh harapan dan kepercayaan kepada Allah. Berdoa bukan sahaja ketika kita selesai solat. Berdoalah pada setiap masa dan setiap keadaan kerana Allah tak pernah mengehadkan waktu untuk hambaNya berdoa.

3) Berselawat dan Berzikir

Banyakkan berselawat hatta sampai kering bibir. Cubalah juga berzikir walaupun dengan hanya kalimah 'la ilaha illa Allah'. Kerana kalimah ini dapat disebut walaupun tanpa menggerakkan bibir. Terdapat banyak kelebihan dengan selawat dan zikir.

4) Banyakkan Sedekah

Bersedekah bukanlah hanya dengan harta dan benda yang kita sayang. Tapi, bersedekah juga boleh dibuat dengan senyuman, berkongsi ilmu dan doa untuk orang lain. Cubalah cari jalan untuk bersedekah dengan kadar kemampuan kita.

5) Berserah, Ikhlas dan Redha

Bukan mudah untuk berserah, ikhlas dan redha pada situasi yang tidak kita senangi. Akan tetapi, kita perlu paksa diri untuk belajar bagaimana untuk berserah, ikhlas dan redha. Contohnya, kadang-kadang agak sukar untuk memberi, tapi cuba juga paksa diri untuk memberi sampai satu masa ikhlas itu timbul dengan sendiri.

Selain 5 amalan di atas Sifu juga menekankan supaya kita memperuntukkan masa untuk BELAJAR. Belajarlah untuk menuntut ilmu dari semua golongan. Sama ada dari golongan tua atau muda, dan dari junior atau senior. Tak pernah ada kerugian untuk belajar sesuatu daripada sesiapa sahaja kerana ilmu itu di mana-mana.

Sekian, Wa Allahu A'lam. Semoga apa yang Sifu Ajim kongsikan dari pengalaman jerit perih beliau sendiri dapat kita ambil pengajaran dan amalkan dalam kehidupan seharian kita juga.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan