Diari Hamil: Bedah Buku

By Huwaida - Januari 30, 2018

Diari hamil: menanti detik keindahan bersamamu merupakan hasil karya Khairun Nisa' Zakaria, Muhd. Mawardi Zakaria dan Khulwana Hanapi. Buku ini diterbitkan dengan ilustrasi yang sangat menarik. Pertama kali melihat buku ini dari kulit ke kulit, saya berpendapat buku ini memang patut dimiliki oleh setiap orang yang merancang untuk mempunyai zuriat. Tak kisahlah sama ada anda ulat buku atau sebaliknya, anda pasti dapat membaca buku ini dengan mudah.


Dengan ilustrasi yang menarik dan santai, serta saiz tulisan yang sederhana besar, kita akan berasa sangat selesa untuk membacanya. Kita akan menyelak setiap halaman tanpa kita sedar yang kita sudah hampir menyelak halaman yang terakhir. Walaupun buku ini ditulis dengan santai, info-info di dalam buku ini bagi saya sudah begitu banyak untuk pasangan yang menanti kehadiran cahaya mata yang pertama.

Tidak kisahlah sama ada anda seorang isteri atau suami, anda sangat dialu-alukan untuk membaca buku ini kerana isi-isi buku ini memang jelas ditujukan kepada kedua-dua pihak suami dan isteri. Tak rugi sebenarnya jika anda membeli buku ini, Anda memang akan membaca atau membuka buku ini berulang kali kerana info dan tip-tip yang diberikan sangat bermanfaat.

Penulisan buku ini dimulakan dengan mukadimah yang cukup mesra kerana disertakan sekali manual penggunaan buku ini. Diari hamil juga berkongsi petua kehamilan dan tip-tip kehamilan, serta bercerita lanjut tentang diari kehamilan untuk setiap trimester bagi setiap minggu. Hampir setiap minggu sewaktu kehamilan saya, saya akan buka kembali buku ini untuk membaca tentang perkembangan janin dan nota tentang perubahan ibu hamil.

Buku ini juga ditulis untuk mempersiapkan diri kita supaya lebih bersedia menghadapi detik kelahiran zuriat kita. Terdapat bab-bab seperti menanti saat kelahiran, senaman ibu mengandung, info tentang kelahiran kembar, panduan menamakan bayi, resepi dan petua-petua lain ketika berpantang sehinggalah perrsiapan mental ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Bagi saya, buku yang santai tetapi penuh dengan info-info menarik seperti ini, sangat sesuai dan mudah untuk digunakan. Akan ada nanti yang akan membawa buku ini ke mana-mana sahaja sebagai peneman terutamanya apabila anda sedang hamil. Saya amat yakin anda tidak akan jemu untuk membaca buku ini berulang-ulang kali, kerana hal ini juga berlaku pada saya.

Saya pasti akan membuka buku ini berkali-kali sewaktu mengandung sehinggalah habis berpantang walaupun sudah siap membaca setiap bait yang ditulis sebelum disahkan mengandung lagi. Jadi, adalah sangat tak mustahil anda juga akan melalui pengalaman yang sama. Saya ulangi, bagi yang belum terjebak menjadi ulat buku, anda juga pasti menyukainya.


  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan