Kepentingan Berpantang Selepas Keguguran

By Huwaida - Januari 11, 2018

Mengikut amalan perbidanan Melayu, keguguran adalah situasi yang lebih serius daripada bersalin. Teringat lagi perumpamaan yang diberitahu oleh emak saudara saya, "keguguran diibaratkan seperti buah yang masih putik, akan tetapi dipaksa gugur ke tanah". Perumpamaan ini memang diketahui oleh kebanyakan nenek moyang kita. Apabila buah sudah ranum, tangkai buah tersebut memang sudah bersedia untuk menggugurkan buah tersebut. 

Sebaliknya, apabila buah masih putik, tangkai yang menghubungkan buah itu dengan pokok masih belum bersedia. Sekiranya buah itu gugur, tangkai tersebut seolah-olah direntap atau dengan kata lain dikasari untuk menggugurkan buah itu. Makanya, kesan akibat daripada rentapan itu lebih dahsyat daripada bersalin bayi yang matang.



Secara logik saintifiknya, apabila kita keguguran semasa janin belum matang, berkemungkinan besar akan ada sisa-sisa yang belum keluar sepenuhnya. Sisa-sisa yang tertinggal akan menjadi toksik kepada badan. Seperti biasa, tubuh badan yang dijadikan Allah akan secara semulajadinya berinteraksi pada toksik ini, dan seterusnya akan menyebabkan ibu yang keguguran mengalami demam panas atau jangkitan pada bahagian rahim khususnya.

Selain itu, adalah sangat biasa untuk emosi ibu yang telah keguguran terganggu. Wanita dikurniakan dengan sifat keibuan di mana seorang ibu akan menyayangi anaknya melebihi kasih sayang kepada dirinya sendiri. Jika seorang wanita tidak dikurniakan sifat sebegini, tidak akan adanya anak yang dapat terus hidup hingga dewasa. Kerana sayangnya ibu, walaupun badan masih lemah berpantang akan bangun pada waktu malam untuk menyusukan anak. Ini adalah bukti kecil yang kita selalu dengar.

Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk ibu-ibu yang keguguran berpantang untuk pastikan mereka secara fizikal dan emosi pulih seperti biasa. Jangan sesekali berpura-pura kuat dan padamkan kisah sedih ini. Kisah sedih memang perlu ditangisi dengan sekadarnya kerana kita perlu ada rasa redha dengan ketentuan Allah dan percaya akan hikmah yang Allah telah sediakan.

Jatuhnya air mata menandakan kita menerima kenyataan yang kita telah kehilangan sesuatu yang kita sayang. Apabila kita menerima kenyataan atau hakikat yang terjadi, kita akan teruskan hidup dengan percaya dan yakin dengan ketentuan Allah. Yakin hanya Allah Maha Berkuasa merezkikan kita dengan zuriat. Kita tidak mendapat zuriat dengan kehebatan diri sendiri. Semua yang kita ada atau dapat adalah kurniaan dari Tuhan.

Maka, korbanlah sedikit masa untuk berpantang. Sebagai manusia kita sememangnya lemah. Kerana lemahnya kita, kita perlu mempunyai rasa kebergantungan kepada Allah. Kerana lemahnya kita, kita perlu menaiki tangga dari bawah satu persatu. Bukan menafikan anak tangga yang ada. Dugaan hidup adalah untuk kita berhadapan dengannya, rasai apa yang perlu dirasa supaya kita boleh bangkit dan bergerak ke hadapan tanpa beban.

Panjang pulak saya membebel tentang kepentingan kita menerima hakikat keguguran. Bukan apa, kebanyakan perempuan suka mahu melupakan kisah sedih dengan harapan mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik. Menafikan amalan berpantang kerana mahu dilihat kuat atau tidak terlalu manja. Memang adalah sangat tidak perlu untuk menangis di khalayak ramai. Tetapi, adalah sangat tidak perlu juga untuk menyembunyikan perasaan dengan diri sendiri dan menafikan hak diri.

Jadi, kepada ibu-ibu termasuk diri saya sendiri, kita perlu berpijak di bumi ciptaan Allah yang nyata, bukan berpijak di awang-awangan ciptaan sendiri. Anda boleh membaca pengalaman saya berpantang selepas keguguran di LINK ini.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan