Bicara Mengenai MLM

By Huwaida - Oktober 19, 2017

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi hasil pembacaan dan penyelidikan saya mengenai perniagaan MLM atau 'Multi Level Marketing'. Hal ini disebabkan perniagaan MLM sering diberi persepsi negatif oleh masyarakat. Dalam penulisan kali ini, saya hanya akan memetik artikel-artikel yang telah saya baca bagi memastikan tiada unsur 'menegakkan benang yang basah'.


Perlulah diketahui bahawa menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006; konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi-Level Marketing (MLM) yang diluluskan oleh kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam. 

Saya akan cuba menghuraikan serba sedikit isi kandungan garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Malaysia Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-95 pada 16-18 Jun 2011 mengenai perniagaan jualan lansung MLM menurut syariah (klik di sini untuk bacaan penuh). 

Pertamanya, perlu kita ketahui terdapat tiga jenis pelan pemasaran perniagaan jualan langsung iaitu (saya petik secara terus):

"1. Pelan Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM)
  • Syarikat akan mengambil atau melantik individu sebagai peserta bagi menjual barang atau perkhidmatan syarikat.
  • Peserta berkenaan akan melantik individu lain bagi membentuk rangkaian di bawahnya (downline) untuk menjual barang atau perkhidmatan syarikat. Proses pengambilan peserta baharu boleh diteruskan sehingga satu peringkat yang munasabah.
  • Setiap peserta akan mendapat komisen, bonus atau faedah ekonomi lain daripada jualan peribadi dan jualan ahli atau pengedar di bawah rangkaian atau dalam kumpulannya (over-riding bonus).
2. Pelan Pemasaran Satu Tingkat (SLM)
  • Syarikat akan melantik atau menaja wakil atau ejen jualan dan membayar gaji atau komisen atau gabungan gaji dan komisen atas jumlah jualan yang dibuat.
  • Wakil atau ejen jualan berkenaan tidak dibenarkan untuk melantik atau menaja wakil atau ejen jualan lain.
3. Jualan Melalui Pesanan Pos (Mail Order)
  • Jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, sama ada secara sendiri atau melalui mana-mana orang yang diberi kuasa melalui pos."
Dalam artikel yang sama definisi Skim Piramid ialah:
"Skim piramid bermaksud apa-apa skim, perkiraan, pelan, pengendalian atau proses berantai yang bonus atau faedah diperoleh semata-mata atau terutamanya daripada perekrutan atau pengambilan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses berantai piramid berbanding dengan jualan barang, perkhidmatan atau harta tidak ketara oleh peserta."

Jadi, nampak kan perbezaan MLM dan Skim Piramid? MLM adalah perniagaan jualan produk secara langsung kepada pelanggan melalui pengedar-pengedar yang di lantik untuk mendapatkan jualan tetapi pada masa yang sama memberikan peluang kepada pengedar menjana pendapatan melalui penjualan produk dan juga melalui rangkaian.  MLM adalah jenis perniagaan yang mengutamakan rangkaian kerana dengan rangkaian atau kumpulan yang kuat, produk yang di pasarkan akan lebih cepat untuk berkembang dan lebih cepat sampai kepada pelanggan. Jumlah komisen atau bonus yang diberi kepada pengedar adalah sistem atau perjanjian yang ditetapkan sendiri oleh pemilik perniagaan tersebut.


Hal ini sangatlah berbeza dengan Skim Piramid yang hanya menfokuskan kepada perekrutan ahli semata-mata daripada memfokuskan kepada jualan produk itu sendiri. Bagi saudara Selamat Jamil pula apabila menulis satu artikel berkenaan MLM, dia berpendapat:
"Konsep orang atas sahaja yang akan mendapat keuntungan ‘buta-buta’ adalah tidak benar kerana komisyen over-riding akan terhenti pada satu tahap yang munasabah yang di tetapkan oleh syarikat MLM tersebut. Jika setiap pengedar yang bergelar downline tadi kekal menjalankan perniagaan MLM ini maka pada satu tahap juga dia akan menjadi upline. Seterusnya usahanya mungkin akan sedikit berkurang kerana sebagai upline dia akan memastikan kumpulannya mendapat jualan produk yang tinggi dan memotivasikan setiap ahli di dalam rangkaiannya dan begitulah seterusnya. Di dalam perniagaan MLM, penggunaan produk yang konsisten oleh setiap ahli dan memperkenalkan produk kepada orang lain adalah perkara yang ditekankan di dalam perniagaan MLM ini."

Unsur-unsur Yang Mengharamkan MLM
Terdapat juga unsur-unsur yang akan mengharamkan MLM mengikut garis panduan yang dikeluarkan JAKIM:
  • Mengandungi unsur Skim Piramid
  • Mengandungi unsur, penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif
  • Mengandungi unsur paksaan samada kepada downline atau pelanggan
  • Mengandungi unsur pembaziran kepada pelanggan
  • Menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha
  • Mengandungi unsur syubhah dalam aspek perniagaan meliputi pelan pemasaran, pemberian insentif dan sebagainya
Merujuk artikel yang ditulis oleh Farrah Salwani binti Nazeri, pelajar Undang-Undang Fakulti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau menyifatkan MLM sebagai salah satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di Malaysia dengan peningkatan statistik saban tahun. 
"Pada tahun 2002, nilai jualan syarikat jualan langsung adalah RM2 bilion. Pada tahun 2008 pula angka jualan meningkat kepada 4.3 bilion dan pada tahun 2011 angka jualan meningkat lagi kepada 8.5 Bilion. Bagi tahun 2012 pula , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan industri MLM bakal menyumbang RM 10 bilion kepada pendapatan ekonomi negara. 
Jadi, jika dilihat dari aspek ekonomi, MLM merupakan salah satu sumber penting kepada ekonomi negara. Justeru, pembaikan terhadap sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat Islam sebagai strategi pemasaran produk orang-orang Islam adalah amat penting dalam membantu orang Islam untuk mengembangkan produk mereka."


Secara kesimpulannya, perniagaan MLM adalah perniagaan yang memberi peluang kepada individu untuk menambah taraf hidup ekonomi isi rumah dengan modal dan risiko yang rendah. Perniagaan MLM bukan perniagaan cepat kaya tetapi perniagaan MLM adalah salah satu perniagaan yang boleh menjadikan anda kaya. Walaupun begitu, unsur-unsur yang boleh membawa kepada pengharaman MLM perlulah diberi perhatian.

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan