Kita Perlu Bersedia Bertaubat

By Huwaida - September 11, 2009

Pernah suatu ketika, seorang murid bertanya kepada gurunya, “Wahai Syaikh,bila engkau sudah tidak lagi bersama kami, kalimat apa yang dapat kami pegang supaya kami berjaya menjalani hidup ini”. Gurunya pun menjawab, “Jangan melangkah di jalan keputusasaan. Di alam ini terdampar berjuta harapan. Jangan pergi kearah kegelapan. Di alam ini terdapat banyak cahaya….”

Hakikatnya,manusia tidak pernah lari dari melakukan dosa sepertimana sabda Rasullullah S.A.W: “Al-Insan la yakhlu a’lal qhotok wan nisyaan”. Cuma apa yang membezakan antara kita semua ialah sebanyak mana kita menyedari kesilapan kita, bertaubat dan berubah. Walaupun begitu, ada juga dikalangan kita yang enggan bertaubat dan berubah lantaran hadirnya rasa ‘putus asa’ terhadap rahmat Allah. 

Seringkali kita mendengar assyujaa’h seperti ‘ingatlah rahmat Allah itu sangat luas’. Tapi,berapa ramai yang berpegang kepada ungkapan ini dan berapa ramai yang sekadar mendengar sahaja ungkapan ini. Kenapa adanya pelbagai respons sedangkan setiap di kalangan orang Islam itu memegang satu aqidah yang sama?Jadi, benarlah tahap keimanan dan ketaqwaan itu menyebabkan kita bertindak dengan tindakan berbeza. Bertitik tolak dari sinilah, lahirnya insan-insan yang mudah bertaubat apabila merasakan dirinya berdosa, yang bertangguh-tangguh untuk bertaubat mahupun yang tidak nampak jalan untuk bertaubat.

Bizhalik, marilah kita sama-sama tanamkan keyakinan bahawa Allah itu sentiasa bersama kita. Sebagaimana dihuraikan oleh Ibnul Qayyim, kebergantungan hati kepada Allah itu hanya bisa dimiliki oleh orang yang bersungguh-sungguh membina dan mendidik jiwanya. Membina dan mendidik jiwa dengan selalu mengaitkan segala persoalan dari sudut yang benar kerana kebenaran memandang hidup itu sebagai yang menenangkan jiwa dan membolehkan kita merasakan kelazatan iman itu sendiri.

Keputusasaan bisa saja terjadi tanpa disedari. Iman dalam hati kita boleh diibaratkan seperti pelita. Lantaran tabiat iman manusia yang ‘yazid wa yanqus' cahaya pelita itu terkadang kelihatan menyala dengan terang bahkan terkadang meredup seketika. Tapi, sebagai muslim yang mukmin, kita perlulah berusaha agar pelita itu tidak senantiasa meredup bahkan padam kerana Allah telah menyediakan kita satu jalan yang sangat indah dan mudah iaitu ‘TAUBAT’.

Sepertimana firman Allah yang bermaksud: ‘Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.’ [2.160]

Akhir kalam, kita diberi pilihan untuk memilih. Tapi ingat, kita juga diberi petunjuk untuk memilih dan diberi peluang untuk mengubah pilihan. Moga kita semua sentiasa diberi hidayah semasa membuat sebarang pilihan. ‘Allahumma arina haqqa haqqan, warzukhna tibaa’hu, waarinal bathila bathilan, warzukhnajtinabahu’.Ameen…

-21 Ramadhan 1430-

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan