Muhasabah Diri?

By Huwaida - September 23, 2009

Apa yang tergambar di fikiran kita apabila disebut saja tentang kematian?. Orang yang akan menghadapinya hanyalah orang yang sudah berumur lanjut?. Walaupun tak semua orang menemui ajalnya pada usia tua, tapi kebanyakan kita merasakan usia tua itu lebih sinonim dengan kematian.

Di sini, saya dengan rasa rendah dirinya, ingin berkongsi serba sedikit perasaan saya pada satu masa lalu tentang ‘kematian’. Walaupun perasaan ini timbul bukanlah jangka masa yang lama, tapi perasaan ini cukup mengajar saya tentang kematian itu sendiri. Alhamdulillah, perasaan itu tidak datang sia-sia melainkan memberi saya rasa keinsafan dan tidak pergi melainkan meninggalkan seribu satu makna bagi sebuah kehidupan.

Pernah suatu ketika dulu, bila disebut sahaja tentang kematian,atau bila diceritakan sahaja tentang ada kematian yang berlaku, dengan tak semena-mena, timbul rasa takut di hati. Andai kita(orang Islam) dibenarkan berdoa untuk menangguhkan masa kematian kita, maka saya rasa pada masa itu sayalah orang pertama sekali akan memohon sedemikian. Astaqfirullah al-A’zim. Walaupun begitu, pada masa itu timbul satu kehairanan dalam diri ini, kenapa seolah-olah saya seorang sahaja yang merasakan begitu. Andai ini adalah satu perasaan yang normal, maka semua orang perlu merasakan begitu. Lebih-lebih lagi kematian itu adalah sesuatu yang pasti dialami setiap orang. Namun, apa yang membezakan kita semua hanyalah waktu, tempat dan keadaan kematian itu sendiri.

Bermula dari situ, saya mula bermuhasabah apa yang terkurang dalam diri ini sehingga timbul perasaan sebegitu. Alhamdullillah, biiznillah, saya mula sedar punca masalah saya ini adalah berlakunya kecacatan dalam persiapan yang dibuat untuk menghadapi mati itu sendiri. Saya beribadah dan berdoa bersungguh-sungguh untuk kesejahteraan hidup di dunia, tetapi lupa untuk 2x bersungguh-sungguh berdoa untuk kesejahteraan di akhirat yang kekal abadi. Merancang bagaimana meneruskan hidup seribu tahun lagi tapi lupa untuk merancang bagaimana menghadapi kematian yang tidak sampai sedetik dari sekarang. Jadi, timbullah kesedaran, sebagai orang Islam kita perlu biasakan diri melakukan sesuatu 2 in 1 untuk setiap waktu. Rasullullah(s.a.w) sendiri pernah mengambarkan betapa singkatnya hidup di dunia ini sepertimana seorang musafir yang singgah sebentar di bawah sebatang pokok untuk berehat dan mengumpul bekalan untuk perjalanan seterusnya.

Akhir kalam, Rasullullah(s.a.w) sendiri pernah menceritakan bahawa umat akhir zaman ini akan mengalami satu penyakit yang dinamakan sebagai ‘wahn’. Di mana penyakit ini menyebabkan umat manusia cintakan dunia dan takutkan mati. Na’uzubillahi min zalik. Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini, janganlah golongkan aku dalam golongan yang berpenyakit sedemikian. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin… Jadi,jangan takut lagi akan kematian. Bahkan bersedialah untuk menghadapi kematian kerana kematian itu adalah destinasi. Kita hidup untuk mati.

-3 Syawal 1430-

  • Share:

You Might Also Like

0 ulasan